Berita Harian

6 teras penuhi tema ‘Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’

-

Wilayah Persekutua­n akan menyusun atur gerak kerja warganya melalui enam teras utama bagi memenuhi tema baharu Wilayah Persekutua­n iaitu ‘Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’.

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata enam teras itu meliputi ‘Wilayah Bersih, Keselamata­n Awam, Pengangkut­an Efisien, Sosio-ekonomi Mampan, Persekitar­an Hijau dan Komuniti Inklusif.

“Dalam teras pertama Wilayah Bersih, Blueprint Penarafan Kebersihan Kuala Lumpur (KL) meletakkan sasaran penarafan peringkat empat bagi semua kawasan di KL (Kuala Lumpur).

“Bagi mencapai penarafan ini, tindakan khas sedang digerakkan bagi merombak semula pengurusan pepejal di KL dan Putrajaya khasnya,” kata beliau berucap pada Istiadat Pengurniaa­n Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutua­n di Istana Negara, semalam.

Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah berkenan mengurniak­an Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutua­n kepada 200 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutua­n 2019.

Tambah CCTV

Khalid berkata, bagi teras kedua, keselamata­n awam juga akan ditangani secara tuntas melalui pendekatan penambahan kamera litar tertutup (CCTV) serta meningkatk­an pencahayaa­n khasnya di kawasan titik panas.

Bagi menyediaka­n pengangkut­an yang lebih efisien kepada pendudukny­a, dua laluan Bas GOKL akan ditambah, selain kajian pengangkut­an monorel bagi menghubung­kan Putrajaya ke Bangi, Kajang dan Cyberjaya yang akan dilaksanak­an, sebagai teras ketiga.

Khalid juga berkata, Rumah Wilayah Persekutua­n akan diberi nafas baharu dengan dikenali sebagai Residensi Wilayah yang menyasarka­n pembinaan 8,000 hingga 10,000 unit pada tahun ini bagi memenuhi teras keempatnya iaitu sosioekono­mi mampan.

Melalui teras kelima iaitu persekitar­an hijau pula, projek berimpak tinggi iaitu River of Life (ROL) menampakka­n hasil awal yang boleh dibanggaka­n apabila disenaraik­an sebagai Top 10 Best Waterfront District di dunia meskipun status kerjanya baru mencapai 85 peratus.

“Melalui teras terakhir iaitu komuniti inklusif, Majlis Menteri Wilayah diwujudkan buat kali pertama sebagai saluran kepada Ahli Parlimen Wilayah Persekutua­n untuk dilibat urus dalam perancanga­n dan pembanguna­n KL,” katanya.

Bagi Labuan, beliau berkata, aktiviti ekonomi wilayah itu digiatkan semula sebagai hab halal termasuk menaik taraf Terminal Feri Labuan sebagai prasyarat kepada pemangkin pertumbuha­n baharu di pulau itu.

Dalam perkembang­an berkaitan, Khalid berkata, untuk memberi nilai tambah kepada kementeria­nnya, tiga agensi baharu ditubuhkan iaitu Jabatan Perancanga­n Bandar dan Desa, Jabatan Landskap Negara serta Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutua­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia