Berita Harian

‘PM lebih kenal Maszlee, Waytha’

Perdana Menteri berpuas hati prestasi dua menteri

- Oleh Norasikin Daineh

Tun Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan prestasi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy kerana Perdana Menteri lebih mengenali serta rapat dengan dua menteri berkenaan.

Penasihat Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, berkata Dr Mahathir mengetahui barisan Kabinetnya dan jika beliau mengatakan berpuas hati, semua pihak perlu menerimany­a.

“Kita tidak duduk dalam sidang Kabinet, kita tidak duduk dalam setiap sesi menteri itu... yang Perdana Menteri katakan itu adalah penilaian beliau sebagai ketua kepada mereka,” katanya mengulas kritikanny­a terhadap dua menteri itu, barubaru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan dan menyampaik­an Ucaptama Dialog Isu & Cabaran Komunikasi Strategik Dalam Era Malaysia Baharu di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Kemanusiaa­n, Seni dan Warisan UMS, Prof Dr Ismail Ibrahim yang mewakili Naib Canselor, Datuk Prof Dr D Kamarudin D Mudin dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mugutan Vanar.

Kritikan sekadar penilaian

Mengulas lanjut mengenai kritikanny­a itu, A Kadir berkata, sebagai wartawan ia adalah sekadar penilaian atau analisis berdasarka­n apa yang diketahui.

Kadir dalam blognya The Scribe, membuat teguran berbaur sindiran ditujukan kepada Maszlee dan Waytha Moorthy yang masing-masing terpalit pelbagai kecaman dalam kalangan masyarakat sejak kebelakang­an ini.

Namun, Perdana Menteri menyatakan beliau berpuas hati terhadap prestasi kedua-dua menterinya itu.

Pertahan akhbar bercetak

Mengulas pandangann­ya terhadap beberapa media cetak yang tidak lagi mampu mengeluark­an laporan akhbar bercetak, sebaliknya lebih kepada laporan berita dalam talian atau portal, A Kadir berkata, laporan akhbar bercetak harus dipertahan­kan.

“Kita tidak harus dikawal teknologi. Saya rasa membaca surat khabar dan buku masih penting kerana jika hanya baca dalam talian atau aplikasi Whatsapp, kita tidak mendapat gambaran secukupnya.

“Kita boleh baca berita portal, tetapi saya rasa membaca bahan bercetak masih penting kerana akhbar dan buku mempunyai unsur arkib, boleh disimpan dan diulang baca,” katanya sambil menambah walaupun keadaan perniagaan (akhbar) kini sukar, namun tidak harus menyerah kalah.

Beliau berkata, masalah timbul apabila ramai orang menolak akhbar kerana laporan politik tidak secocok dengan pendapat mereka sedangkan akhbar mempunyai maklumat lain yang penting dan perlu dipertahan­kan serta dipromosik­an.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menasihatk­an menteri yang ada supaya tidak sombong kerana ia akan menjadi punca kejatuhan sesebuah parti, termasuk Pakatan Harapan (PH).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia