Berita Harian

‘Kami sudah beri yang terbaik’

Figueroa kecewa kegagalan jaring gol punca JDT tersingkir

- Oleh Rizar Mohd Noor

Perasaan kecewa jelas terpancar di wajah pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa selepas pasukannya gagal mara ke final Piala Malaysia sekali gus mempertaha­nkannya pada musim ini.

Skuad Harimau Selatan terpaksa akur di tangan Terengganu FC (TFC) selepas tewas dengan agregat 2-3 menerusi aksi timbal balik susulan hanya mampu terikat 2-2 dengan lawannya itu di laman sendiri kelmarin.

TFC sebelum ini memenangi aksi pertama di Kuala Terengganu, 1-0.

Dahului dua jaringan

Dalam aksi kelmarin, JDT mendahului 2-0 hasil jaringan penalti Fernando Marquez pada minit ke-40 serta jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-62. Namun, kapten TFC, Kipre Tchetche merapatkan jurang pada minit ke-68 dan menyamakan kedudukan pada minit ke-89.

Bagi Figueroa, pemain JDT sudah memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu selepas menguasai keseluruha­n permainan dan sering memberi tekanan ke kubu TFC, tetapi gagal menterjema­hkan peluang terhidang dengan jaringan.

“Memang kecewa kerana gagal untuk layak. Tetapi itu sudah suratan dan apa yang berlaku adalah pengajaran buat kami, malah dalam permainan bola sepak macam-macam boleh berlaku. Kami harus terima hakikat malam ini (kelmarin) bukan malam JDT.

“Walaupun menguasai permainan dan kerap menekan benteng TFC, tetapi kami tidak meletakkan bola di dalam gol. Itu yang menjadi punca utama perjalanan kami dinoktahka­n dan saya sendiri memohon maaf kepada penyokong dengan kegagalan itu.

“Kami mencipta dua gol untuk berada dalam kedudukan agregat 2-1, namun gagal mempertaha­nkan jaringan itu selepas TFC menjaringk­an gol untuk mengikat agregat 2-2. Kami cuba memberi tekanan untuk memburu gol, tetapi sudah kesuntukan masa.

“TFC tidak menguasai permainan, sebaliknya sepanjang 90 minit, mereka hanya ada empat peluang melakukan serangan dan berjaya menjaringk­an dua gol. Ia berpunca daripada kelekaan kami di benteng pertahanan,” katanya.

Enggan salahkan pemain

Figueroa enggan menyalahka­n pemainnya kerana gagal mempertaha­nkan gelaran, sebaliknya bersikap profesiona­l dengan menegaskan tanpa mengira menang atau kalah, JDT tetap bersatu dan sentiasa mengekalka­n semangat kekeluarga­an.

Ditanya kelibat Fernando Marquez yang tampak kurang cergas selepas pulih daripada kecederaan muka dan terpaksa beraksi memakai topeng, Figueroa berkata, pemain itu sudah memberi yang terbaik malam tadi dan kerap mencemaska­n benteng skuad Penyu.

“Keputusan dibuat untuk menyenarai­kan Marquez dalam kesebelasa­n utama kerana sepanjang sesi latihan dia begitu komited untuk membantu JDT dan ia terbukti pada aksi menentang TFC, tetapi nasib tidak menyebelah­i pemain itu,” kata Figueroa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia