Berita Harian

Choong Hann pengarah kejurulati­han baharu BAM

Tugas utama realisasi matlamat menang emas Olimpik Tokyo 2020

- Oleh Helmi Talkha

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Wong Choong Hann sebagai pengarah kejurulati­han baharu badan induk itu dan akan memulakan tugasnya pada 1 Januari ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata satu daripada tugas utama bekas pemain perseorang­an lelaki negara itu adalah merealisas­ikan matlamat memenangi emas Olimpik Tokyo 2020.

“Pelantikan ini adalah bagi melengkapk­an struktur kejurulati­han yang ada sekarang dengan semua lima ketua jurulatih akan menghantar laporan kepada Choong Hann. Namun, Choong Hann hanya bertanggun­gjawab terhadap struktur kejurulati­han skuad kebangsaan.

“Sudah pasti salah satu tugas utamanya adalah meraih emas pada Tokyo 2020 tetapi untuk meletakkan ia sebagai KPI (petunjuk prestasi utama), kami perlu berbincang dengan dia dulu. Ia perlu dibuat berdasarka­n situasi semasa dan kemampuan pemain yang ada sekarang.

Pilihan terbaik

“Selain Choong Hann, kami ada beberapa lagi calon termasuk pakar dari luar negara. Namun, melihat kepada situasi semasa dan kekangan kewangan, Choong Hann adalah pilihan terbaik.

“Saya percaya Choong Hann mampu bekerjasam­a baik dengan semua jurulatih bagi mencapat matlamat Tokyo 2020,” kata Norza selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa BAM di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, dekat sini, semalam.

Selain Choong Hann, bekas pakar beregu lelaki Indonesia, Rexy Mainaky dan ketua jurulatih perseorang­an lelaki, Datuk Misbun Sidek difahamkan turut menjadi antara calon utama bagi jawatan berkenaan.

Choong Hann bukan nama asing dalam badminton tanah air dengan dia antara pemain Malaysia yang berjaya di pentas antarabang­sa dengan pernah memegang status sebagai pemain nombor satu dunia.

Dia juga pemain Malaysia pertama yang meraih pingat dalam acara perseorang­an lelaki pada Kejohanan Dunia selain membantu skuad negara muncul naib juara dua kali pada saingan Piala Thomas 1998 dan 2002.

 ?? [ FOTO NIK HARIFF HASSAN / BH ] ?? Wong Choong Hann
[ FOTO NIK HARIFF HASSAN / BH ] Wong Choong Hann

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia