Misi terancang bunuh Rohingya
Laporan Jabatan Negara dedah maklumat kempen pembunuhan beramai-ramai
Hasil siasatan yang dijalankan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendapati tentera Myanmar melakukan kempen pembunuhan beramairamai, merogol dan pelbagai lagi tindakan kejam yang dianggap ‘tersusun dan terancang’ ke atas etnik Islam Rohingya.
Pegawai kanan Amerika Syarikat ketika memberitahu AFP, laporan Jabatan Negara yang diterbitkan kelmarin, siasatan itu boleh digunakan untuk mengesahkan sekatan atau tindakan lain ke atas pihak berkuasa Myanmar.
Bagaimanapun, ia tertangguh selama hampir sebulan, susulan perdebatan hangat sama ada operasi itu mahu digambarkan sebagai pembunuhan beramairamai atau jenayah kemanusiaan.
Laporan yang kali pertama diterbitkan Reuters, adalah hasil temubual dengan ribuan lelaki dan perempuan etnik Rohingya di beberapa kem pelarian di Bangladesh.
Kem pelarian itu kini menempatkan lebih 700,000 pelarian Rohingya yang meninggalkan Myanmar, berikutan kempen ketenteraan di Rakhine tahun lalu oleh tentera negara itu.
“Laporan ini mendedahkan bahawa keganasan di Rakhine kebelakangan ini adalah gerakan ekstrim pada skala besar dan meluas yang dirancang khas untuk memusnahkan populasi serta menghalau penduduk Rohingya.
“Skop dan skala operasi ketenteraan itu menunjukkan ia dirancang dan dilaksanakan dengan begitu teliti,” kata laporan setebal 20 halaman itu.
Penduduk yang terselamat turut menceritakan kesengsaraan dialami dan disaksikan sendiri, termasuk pembunuhan kanak-kanak serta bayi oleh anggota tentera, lelaki tidak bersenjata turut ditembak dan mayat mangsa dicampak ke dalam kubur atau ditanam hidup-hidup.
Mereka turut memberitahu bahawa serangan seksual tentera Myanmar terhadap wanita Rohingya dilakukan secara terbuka dalam khalayak ramai.
Malah, seorang saksi menceritakan bagaimana beliau melihat empat remaja perempuan Rohingya diculik, diikat dengan tali dan dirogol selama tiga hari sebelum ditinggalkan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
Jurucakap Kerajaan Myanmar, Zaw Htay enggan mengulas lanjut mengenai laporan itu, ketika dihubungi semalam, dan berkata, beliau tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan menerusi telefon.
Sementara itu, panggilan yang dibuat kepada jurucakap tentera, Mejar Jeneral Tun Tun Nyi turut tidak dijawab.