Red Hat sedia sokong pelaksanaa IR 4.0 negara
Red Hat Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat penyedia penyelesaian sumber terbuka global, Red Hat Inc (Red Hat) sedia memberikan sokongan kepada kerajaan dalam pelaksanaan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Pengurus Negaranya, Eric Quah, berkata menerusi platform Red Hat Open Shift Container yang menggunakan sistem Cloud Suite, ia mampu melancarkan pelaksanaan pendigitalan operasi sektor awam dan swasta.
Katanya, menjadi satu keperluan kepada kerajaan untuk merealisasikan IR 4.0 sejajar dengan keperluan global ke arah mentransformasikan sistem penyampaian yang mana akan memberikan penjimatan kepada kos operasi.
“Operasi yang dipacu oleh internet kebendaan atau Internet of Things (IOT) bakal menjadi satu titik perubahan dalam landskap pentadbiran serta ekonomi Malaysia.
“Red Hat ketika ini sedang memberi tumpuan untuk membentuk kerjasama komprehensif dengan kerajaan untuk menjadikan IR 4.0 sebagai kenyataan.
“Kita sedang berunding dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan hasil perbincangan kami juga sangat positif meskipun selepas perubahan tampuk kepimpinan negara,” katanya kepada Bisnes NSTP selepas satu taklimat media Red Hat di Kuala Lumpur, semalam.
Quah berkata, jurang transformasi digital antara sektor awam dan swasta kini semakin mengecil, sekali gus membuktikan kerajaan sememangnya serius untuk beralih kepada operasi lebih lancar berasaskan teknologi.
“Kita sedia membantu kerajaan untuk beralih kepada pendigitalan. Kami mahu menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dalam sektor awam,” katanya.