PKR Sarawak teliti semula tarikh undi
Kuching: PKR Sarawak belum membuat keputusan sama ada meneruskan proses pengundian bagi pemilihan pucuk pimpinan parti itu, mengikut jadual asal atau terpaksa menunda ke tarikh lain.
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Vernin Kedit, berkata ketika ini pihaknya masih menunggu keputusan mesyuarat Biro Politik Nasional PKR yang diadakan semalam.
“Selepas pemilihan di beberapa negeri ditangguhkan, PKR Sarawak juga meneliti semula tarikh pemilihan di negeri ini.
Tunggu keputusan mesyuarat
“Semuanya bergantung kepada keputusan mesyuarat hari ini (semalam) dan kami akur dengan sebarang ketetapan,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.
Mengikut jadual asal ditetapkan, PKR Sarawak mengadakan pengundian bagi memilih pucuk pimpinan parti itu pada 20 Oktober ini.
Bagaimanapun, perubahan tarikh mungkin berlaku apabila pengundian di empat negeri, iaitu Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguhkan, berikutan beberapa masalah timbul ketika pengundian di Pulau Pinang dan Kedah minggu lalu.
Pergaduhan tercetus membabitkan ahli tidak berpuas hati apabila berlaku masalah teknikal sistem e-undi, dalam proses pengundian pemilihan kepemimpinan PKR di dua negeri terbabit.
Berikutan itu, proses pengundian di enam cabang PKR di Kedah, iaitu di Alor Setar, Sungai Petani, Baling, Merbok, Jerai dan Kulim-bandar Baru terpaksa ditangguhkan.