PUSAT TAHFIZ TAK BERDAFTAR DI KUALA LUMPUR AKAN DITUTUP
Perketat syarat penubuhan utama aspek keselesaan, keselamatan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dan beroperasi secara tidak sah, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin, serta imej institusi Islam itu terpelihara.
“Kami tidak mahu pusat tahfiz ini diberi kelonggaran hanya kerana ia institusi keagamaan, ia perlu berdaftar dengan DBKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Kami juga akan mengetatkan syarat kepada sekolah berasrama, khususnya sekolah tahfiz bagi menjaga kualiti daripada aspek keselesaan dan keselamatan,” katanya kepada BERNAMA selepas merasmikan Pusat Mediasi Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PMKS WPKL) di sini, semalam.
Khalid berkata, menjadi tanggungjawab ibu bapa memeriksa status pusat tahfiz jika berhasrat menghantar anak ke institusi itu.
DBKL, JAWI pantau pusat tahfiz
“Selain itu, DBKL turut bekerjasama dengan JAWI memantau semua pusat tahfiz yang masih beroperasi di sekitar ibu kota, sekiranya didapati tidak berdaftar, kami tidak teragakagak menutupnya,” katanya.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof, berkata pihaknya tiada kuasa menutup tahfiz tidak sah di Kuala Lumpur kerana ia di bawah kuasa DBKL.
Ia susulan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar berusia 11 hingga 16 tahun dan pusat tahfiz itu didapati beroperasi tanpa didaftarkan.
Sementara itu, Pengerusi Maahad Tahfiz Sains Fatimah Az-zahrah, Dr Nazratun Nafizah Akhtar Husin, berkata penutupan pusat tahfiz tidak berdaftar dianggap tidak relevan dalam usaha memperjuangkan Islam pada saat pelbagai gejala sosial remaja berlaku sekarang.
Katanya, dalam usaha memperkasakan Islam, pihak berkuasa seharusnya meneliti semula dan menambah baik sistem pendaftaran pusat tahfiz sedia ada, supaya sokongan diberi dalam usaha membantu kewujudan lebih banyak pusat tahfiz berdaftar, selari kemajuan pada masa depan.
“Jangan hanya disebabkan satu kes seperti ini, tindakan tegas diambil hingga merencatkan pertumbuhan semua institusi tahfiz di negara ini.
“Paling penting, sistem sedia ada perlu ditambah baik, termasuk melihat latar belakang pengasas pusat tahfiz, tahap pendidikan dan pegangan, selain terbabit jenayah atau tak.
“Penutupan pusat tahfiz tidak berdaftar itu, seolah-olah membuka ruang kepada lebih banyak masalah dan gejala liar pada masa depan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Pengetua Pusat Tahfiz Al-quran Al-hikmah, Kamal Majid pula, berkata tidak wajar menutup sekolah tahfiz tidak berdaftar kerana pusat itu sekurang-kurangnya mengajar disiplin baik kepada kanak-kanak yang meningkat dewasa.
“Bagaimanapun, lebih elok semua pusat tahfiz berdaftar mengikut undang-undang.
“Kejadian negatif yang berlaku di pusat tahfiz di Kepong bukan sahaja menjejaskan imej Islam, malah memberi gambaran negatif terhadap sesi pembelajaran agama di pusat tahfiz di negara ini,” katanya.
Ia perlu berdaftar dengan DBKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)” Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Penutupan pusat tahfiz tidak berdaftar dianggap tak relevan dalam usaha perjuangkan Islam” Nazratun Nafizah Akhtar Husin, Pengerusi Maahad Tahfiz Sains Fatimah Az-zahrah