Guardiola suka dalam duka
City akhiri jelajah dengan kemenangan tetapi Mahrez cedera
Pep Guardiola menamatkan jelajah Manchester City di Amerika Syarikat (AS) dengan kemenangan 32 ke atas bekas kelabnya, Bayern Munich, namun ia dicemari kecederaan penyerang baharu, Riyad Mahrez.
Dua gol daripada pemain gantian Bernardo Silva membantu City bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengakhiri dua kekalahan dalam kempen Piala Juara-juara Antarabangsa dengan satu gol lagi disumbang pemain muda, Lukas Nmecha.
Mahrez jatuh dua kali dipercayai akibat kecederaan buku lali. Dia kemudian dibawa keluar selepas minit ke-27 dalam keadaan tidak selesa.
Menjelang aksi pembuka tirai tradisi bola sepak Inggeris, Perisai Komuniti di Wembley menentang Chelsea, Ahad ini, Guardiola akan menilai tahap kecergasan pemain Algeria itu sebelum EPL bermula.
Skuad Guardiola akan kembali ke Manchester selepas perlawanan menentang Bayern.
Dua perlawanan City menentang Borrusia Dortmund dan Liverpool berakhir dengan kekalahan tipis tetapi Guardiola memilih pemain yang biasa diturunkannya.
Skuad berpotensi
Lapan pemain dalam kesebelasan utama beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan jelajah AS, menyifatkan mereka skuad yang penuh potensi.
“Kami menganalisis kesilapan dalam perlawanan sebelumnya dan menjadi lebih baik ketika berdepan Bayern Munich,” kata Guardiola.
“Kami berjaya bermain dengan baik dan menangani situasi ketika ketinggalan 0-2.”
Bintang Bayern, Arjen Robben dan Frank Ribery memberi ancaman namun dengan Mahrez diberi ruang di bahagian tengah, juara Inggeris itu mendominasi babak awal perlawanan dan sewajarnya membuka jaringan.
Namun secara-tiba, petang yang sukar buat Guardiola menjadi semakin mencabar pada minit ke-27 apabila Mahrez diarah keluar padang selepas cedera buku lali.
“Kita lihat saja nanti, mungkin ia bukan satu masalah,” kata Guardiola.