4 alasan Rafizi calon diri tanding timbalan presiden
Langkah perkukuh parti menerusi pembentukan barisan kepemimpinan senada pucuk pimpinan
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memberikan empat sebab beliau mencalonkan diri bertanding merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti akhir bulan depan.
Antaranya kerana menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan, sekali gus memperkukuhkan parti menerusi pembentukan barisan kepemimpinan yang senada dengan pucuk pimpinan.
“Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan selepas ini, bermakna beliau memerlukan satu pasukan kepemimpinan yang 100 peratus bersama beliau. Saya bukan taasub kepada Anwar tetapi jika beliau menjadi Perdana Menteri, beliau perlu mendapat mandat penuh barisan kepemimpinan parti.
“Kita tidak mahu ada kepemimpinan yang setuju di depan tetapi di belakang cakap lain,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan barisan calon yang akan bertanding pada pemilihan PKR kali ini, di sini, semalam.
Bagi sebab kedua, Rafizi berkata, PKR perlu berazam untuk membantu Pakatan Harapan (PH) menguasai baki negeri yang gagal dikuasai iaitu Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan termasuk Sarawak pada Pilihan Raya Negeri 2020.
PKR tak boleh selesa
Katanya, sebagai parti memiliki kerusi terbesar dalam PH, PKR tidak boleh berasa selesa, sebaliknya perlu meneruskan agenda reformasi yang diperjuangkan parti.
“Jika kita terus dengan cara kerja kita seperti sebelum menjadi kerajaan, saya yakin PKR boleh menang 70 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.
Bagi sebab ketiga, Rafizi menegaskan beliau mahu PKR bebas dan menolak budaya ‘salam cium tangan’ dan feudal serta budaya orang bawah tidak boleh menegur orang atas.
“Itu bukan budaya kita. Kita parti reformasi kena berani tegur orang atas. Kalau ada yang bawa budaya feudal dan wang serta tawar jawatan dalam parti, kita lawan habis-habisan,” katanya.
Kata Rafizi, sebab keempat beliau bertanding adalah bagi membantu ahli akar umbi terutama memperkasa ekonomi mereka dengan bercadang menubuhkan koperasi anggota PKR.
“Kita boleh tubuhkan koperasi anggota PKR. Jika kita ada sejuta ahli, dalam setahun kita ada modal berbayar RM50 juta dan boleh mewujudkan banyak aktiviti ekonomi untuk cipta peluang pekerjaan kepada anak reformis.
Syor wujud koperasi
“Kita akan minta Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail wujudkan koperasi. Nanti boleh beri skim kredit mikro kepada ahli tanpa perlu bergantung kepada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata keperluan mendapatkan ‘restu’ sebelum membuat keputusan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan kepemimpinan tertinggi parti bukan budaya PKR.
Katanya, proses pemilihan PKR sebaliknya bersandarkan prinsip demokrasi yang membuka pintu seluasnya kepada mana-mana ahli bertanding sebarang jawatan.
“Soal restu atau tidak ialah spekulasi yang dibuat di luar kerana dalam PKR, sesiapa berhasrat untuk bertanding boleh failkan pencalonan. Kalau saya kata ya, ada nanti di luar kata saya gunakan restu Anwar dan Kak Wan (Dr Wan Azizah).
“Kalau saya kata tidak, (dakwa) Anwar dan Kak Wan tidak restu sedangkan dalam PKR, siapa nak bertanding, dia dibenarkan bertanding dengan memfailkan pencalonan,” katanya.
Kerajaan, parti tak sama
Mengulas kemungkinan penyusunan semula anggota Kabinet pasca pemilihan PKR, Rafizi berkata, ia dua isu berbeza kerana percaturan membabitkan pengurusan kerajaan tidak sama dengan hal ehwal parti.
Justeru, katanya, tiada keperluan untuk merumitkan keadaan dengan mewajibkan langkah penyusunan semula anggota Kabinet berpandukan keputusan pemilihan PKR yang dijangka diumumkan November depan.