Berita Harian

‘Bayi misai’ penawar, anugerah terindah

Lelaki 39 tahun jadi anak kesayangan, keluarga tak anggap beban

- Oleh Nazirul Roselan cnews@nstp.com.my

Memiliki fizikal kerdil dengan telatah seperti kanak-kanak menyebabka­n Rizal Abd Rashid, 39, digelar ‘bayi misai’ dalam kalangan penduduk Kampung Padang Lalang, di sini.

Walaupun hanya mempunyai ketinggian kira-kira 76 sentimeter dan berat tiga kilogram, anak keempat daripada lima beradik itu tetap lincah bergerak dengan mengengsot­kan kakinya yang cacat sejak lahir.

Ibunya, Maheron Samat, 67, berkata Rizal menjadi kesayangan dan penghibur mereka sekeluarga, malah tidak pernah dianggap beban kepada beliau serta arwah suami, Abd Rashid Salleh.

Sebaliknya, beliau berkata, Rizal yang mesra dengan panggilan ‘Chik’ adalah anugerah terindah dan memiliki keistimewa­an tersendiri.

Katanya, Rizal adalah seorang yang ceria dan mampu memahami keadaan sekeliling walaupun tidak dapat bertutur mahupun bergerak seperti insan normal lain.

Perut sebesar bola

“Ketika mengandung­kannya, perut saya hanya sebesar bola. Saiz Rizal cuma sebesar tapak tangan ketika dilahirkan. Badannya mula membengkok ketika berusia 10 tahun.

“Bagaimanap­un, tidak susah langsung untuk menjaganya dan jika sakit pun setakat demam, selesema serta batuk sahaja. Rizal suka makan biskut dan minum susu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka, di sini, semalam.

Menceritak­an rutin harian Rizal, Maheron berkata, anaknya itu gemar berinterak­si dan bermain walaupun tidak mampu bertutur.

“Rizal hanya mampu menyebut beberapa perkataan tetapi boleh memahami apabila diberi arahan.

“Di samping itu, Rizal suka bermain dengan koleksi permainan tetapi yang paling digemari ialah senduk kesayangan­nya,” katanya.

Selain Rizal, Maheron berkata, anak ketiganya, Ramli juga tergolong anak istimewa tetapi meninggal dunia akibat kencing manis pada tahun lalu.

Ketika ini, katanya, beliau hanya tinggal berdua dengan Rizal, tetapi anak dan cucu selalu datang menjenguk serta membantu.

Rezeki sentiasa ada

“Sejak memiliki anak istimewa, rezeki saya dan arwah suami sentiasa ada walaupun kami hanya bekerja kampung serta mengambil upah menoreh getah.

“Adakala, terfikir akan nasib Rizal apabila saya sudah tiada nanti tetapi ahli keluarga sudah beri jaminan untuk menjaganya. Saya tidak sanggup menyerahka­nnya kepada orang lain dan bersyukur kerana ahli keluarga turut berfikiran sama kerana sayangkan Rizal.

“Saya menggunaka­n sebaik mungkin bantuan bulanan RM250 diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memenuhi keperluan Rizal seperti makanan dan lampin pakai buang,” katanya.

Adakala, terfikir nasib Rizal apabila saya sudah tiada nanti tetapi ahli keluarga sudah beri jaminan menjaganya” Maheron Samat,

 ?? [FOTO NAZIRUL ROSELAN/BH] ?? Maheron memangku Rizal ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lalang Temerloh.
[FOTO NAZIRUL ROSELAN/BH] Maheron memangku Rizal ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lalang Temerloh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia