Berita Harian

Kepemimpin­an masalah terbesar DBP

Letak tokoh boleh tadbir serta faham mengenai sastera, bahasa

- Oleh Siti Haliza Yusop

Masalah terbesar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini ialah masalah kepemimpin­an, kata bekas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Johan Jaaffar.

Johan berkata, masalah itu hanya dapat diselesaik­an dengan meletakkan seseorang yang berkualiti, iaitu bukan sahaja boleh mentadbir dan mengurus DBP dengan baik, bahkan lebih utama mempunyai pemahaman mengenai sastera serta bahasa.

“Tokoh itu tidak semestinya karyawan, sasterawan atau ahli bahasa tetapi jangan pilih mereka yang tidak berminat serta tidak mengetahui apa-apa mengenai sastera.

“DBP sebenarnya tidak kurang dengan pakar bahasa dan sasteranya. Bagaimanap­un, masalahnya saya lihat tidak ada pemimpin yang dapat menggerakk­an dan memanfaatk­an kepakaran yang ada.

“Sebab itu masyarakat kini tidak memandang DBP sebagai badan penting,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Kelmarin, BH menyiarkan komentar pada Muka 10 berjudul Menanti Suara DBP dalam Polemik

UEC yang mengkritik badan itu tidak bersuara dalam pelbagai isu, khususnya Sijil Peperiksaa­n Bersama (UEC).

Nilai komersial bahasa Melayu

Johan berkata, sebagai badan bahasa yang ditubuhkan dengan matlamat membina bahasa dan sastera kebangsaan, DBP perlu memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang memiliki nilai komersialn­ya.

Beliau berkata, sehingga itu dapat dilaksanak­an, bahasa Melayu tidak akan diberikan pengiktira­fan malah terus ketinggala­n berbanding bahasa lain.

“Satu lagi kelemahan paling besar DBP adalah dari segi inklusivit­i membabitka­n kaum lain.

“DBP perlu terus mengembang­kan kesusaster­aan semua kaum kerana ia adalah institusi yang bukan hanya dimiliki orang Melayu, sebaliknya seluruh rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, lakukan lebih banyak usaha mengembang­kan sastera lain, di samping mempergiat­kan penterjema­hannya ke bahasa Melayu dan sebaliknya dengan kerjasama institusi bukan Melayu.

“Kita juga mahu melihat DBP kembali menerbitka­n karya bermutu dalam bidang sastera, kerana sekitar lima hingga enam tahun kebelakang­an ini terlalu sedikit karya sedemikian yang diterbitka­n badan itu,” katanya.

Johan turut menyambut baik usaha kerajaan mendekatka­n semula DBP dengan golongan sasterawan seperti dilakukan melalui pertemuan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dengan Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said, baru-baru ini.

Johan berkata, seseorang sasterawan memainkan peranan untuk menjadi mata dan hati rakyat, sebaiknya mereka dibiarkan kebebasan melahirkan apa saja pandangan bersesuaia­n.

Hargai Sasterawan Negara

“Janganlah apabila tidak menyokong kerajaan, mereka diketepika­n. Saya melihat usaha diambil kerajaan untuk mendekati A Samad dan membawa mereka ke DBP semula sebagai langkah baik.

“Banyak sumbangan yang boleh diberi tokoh ini dan tidak seharusnya diabaikan.

“Saya kira kebebasan baharu diberi kerajaan hari ini mungkin dapat memberikan kesegaran kepada kesusaster­aan tanah air,” katanya.

Beliau berkata, DBP juga perlu meletakkan SN pada kedudukan tertinggi bukan hanya di tanah air, sebaliknya melakukan usaha giat supaya mereka dapat dicalonkan melalui penganuger­ahan Hadiah Nobel.

“Kita sudah mempunyai 13 SN tetapi apa perancanga­n diambil DBP untuk memastikan SN dapat dicalonkan dalam penganuger­ahan berprestij itu,” katanya.

DBP tidak kurang dengan pakar bahasa dan sasteranya. Bagaimanap­un, saya lihat tidak ada pemimpin yang dapat gerakkan dan memanfaatk­an kepakaran yang ada” Johan Jaaffar, Bekas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia