Berita Harian

BUDAK LELAKI MAUT TERJERUT TALI BIDAI

Budak dipercayai terjatuh dari sofa tepi tingkap ketika bermain

- Oleh Rosli Ilham

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut dipercayai terjerut tali bidai tingkap di rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) di sini, kelmarin.

Muhammad Azhari Zul Azri disedari terjerut oleh ibunya, Noryasmin Mat Yasin, 36, jam 6.50 petang.

Sebelum kejadian, kanak-kanak itu dikatakan bermain bersama kembarnya ketika Noryasmin menunaikan solat Asar di dalam bilik, manakala abang dan kakaknya berusia tiga hingga empat tahun berada tidak jauh daripada mangsa.

Mangsa dikatakan bermain di atas sofa bersebelah­an bidai itu sebelum dipercayai terjatuh dan lehernya terjerut tali bidai.

Sebaik selesai mengerjaka­n solat, Noryasmin terkejut apabila mendapati Muhammad Azhari tidak sedarkan diri, lalu menghubung­i suaminya, Zul Azri Hashim, 39.

Zul Azri yang bekerja sebagai penyelia projek, bergegas pulang ke rumah dan menghantar anak mereka ke Klinik Kesihatan AMBS untuk rawatan.

Pemeriksaa­n pegawai perubatan mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.

Dihantar ke hospital untuk bedah siasat

Ketua Polis Daerah Dungun, Superinten­dan Baharudin Abdullah, berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Jenazah dituntut keluarga dan dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam AMBS jam 2 petang semalam.

Sementara itu, kembar Allahyarha­m yang belum mengerti erti kehilangan adiknya itu, kelihatan riang bermain bersama sepupunya ketika wartawan NSTP mengunjung­i rumah neneknya di Taman Abadi, AMBS petang semalam.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, berkata kanak-kanak terbabit tidak mengetahui kejadian menimpa adiknya.

“Dia belum faham erti kehilangan dan kelihatan girang bermain bersama sepupunya. Mungkin sehari dua lagi baru dia terasa kehilangan adiknya itu kerana mereka berdua sangat rapat dan akrab,” katanya.

Bagaimanap­un, usaha untuk menemubual ibu bapa Allahyarha­m gagal kerana masih bersedih dengan kejadian itu.

“Saya mewakili keluarga arwah minta maaf kerana ibu, bapa dan nenek arwah masih bersedih dan terkejut dengan kejadian itu dan tidak mahu ditemubual,” kata wanita itu mewakili keluarga berkenaan.

Katanya, Muhammad Azhari dan kembarnya itu sangat disayangi nenek mereka kerana dijaga oleh warga emas itu sejak kecil.

“Nenek dan ibu dan bapa arwah masih terkejut dengan kejadian itu dan saya harap pihak media memahami dan tidak menemubual mereka yang masih trauma,” katanya.

 ??  ?? Muhammad Azhari Zul Azri
Muhammad Azhari Zul Azri
 ?? [FOTO ROSLI ILHAM/BH] ?? Jenazah Muhammad Azhari (gambar kecil) dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun.
[FOTO ROSLI ILHAM/BH] Jenazah Muhammad Azhari (gambar kecil) dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia