Stephen Mundaw, mahu kejayaan jadi inspirasi
Anak Iban pertama Jeneral tiga bintang
Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw, yang melakar sejarah sebagai anak Iban pertama mencapai status Jeneral tiga bintang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahu kejayaannya menjadi pembakar semangat kepada anak kampung untuk menabur bakti kepada negara.
Pegawai tinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) kelahiran Pakit, Sri Aman itu berkata, sebagai anak kampung yang berasal dari rumah panjang, beliau sebenarnya tidak menyangka mampu mencapai kejayaan hingga ke tahap itu.
Namun, hasil komitmen tinggi terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, beliau kini diberi kepercayaan untuk menerajui Pemerintahan Medan Timur, ketumbukan TDM yang menjaga keamanan Sabah dan Sarawak.
“Saya sudah lama berkhidmat untuk negara sehingga mencapai tahap ini dan berharap akan lebih ramai anakanak Sarawak khususnya yang berasal dari kampung untuk mengikut jejak kami yang terdahulu untuk menabur bakti kepada negara.
“Ini negara kita dan menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankannya dari sebarang bentuk ancaman yang mampu menggugat kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Panglima Medan Timur TDM daripada Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar, yang disaksikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, di Kem Muara Tuang, di sini, semalam.
Stephen yang sebelum ini Panglima 1 Divisyen Infantri TDM berkata, beliau bangga diberi amanah selaku Panglima kedua Pemerintahan Medan Timur, namun pada masa yang sama beliau sedar tanggungjawab berat menanti untuk meneruskan kesinambungan pencapaian cemerlang yang dilakar Mohd Zaki yang menerajui ketumbukan itu sejak ia mula ditubuhkan empat tahun lalu.
“Saya sedar tanggungjawab berat itu dan bersedia untuk melaksanakannya demi keamanan negara khususnya di wilayah ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zaki berkata, beliau puas menabur bakti kepada negara, sepanjang 42 tahun perkhidmatannya dalam ATM.