MAVCOM diarah kaji harga siling tiket penerbangan
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) diarah untuk mengkaji mekanisme pelaksanaan harga siling tiket penerbangan khusus ketika musim perayaan.
MAVCOM juga diarah untuk mempercepatkan kajian semula caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi penerbangan domestik, ASEAN dan antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata itu antara perkara yang dibincangkan pada pertemuannya dengan pimpinan MAVCOM di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini, semalam.
Katanya, MAVCOM perlu meneliti isu harga tiket penerbangan yang tidak munasabah setiap kali musim perayaan kerana ia kerap dibangkitkan di Parlimen sebelum ini, khususnya bagi mereka yang mahu pulang ke Sabah dan Sarawak dari Semenanjung.
“Orang Sabah dan Sarawak sentiasa berdepan isu ini setiap kali musim perayaan, sama ada sambutan Hari Gawai, Keamatan, hari raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, mereka kena bayar harga tiket yang tinggi.
Pelaksanaan harga siling
“Harga tiket bagi penerbangan antara Semenanjung ke Sabah atau Sarawak boleh mencecah RM1,500 hingga RM2,000 bagi kelas ekonomi, iaitu lebih mahal daripada penerbangan dari Kuala Lumpur ke China, Hong Kong atau Korea Selatan.
“Pelaksanaan harga siling tidak akan mengganggu pasaran kerana ia hanya pada musim perayaan, selain wujud keperluan kerana tidak ada alternatif lain untuk ke Sabah dan Sarawak atau negeri itu ke Semenanjung, kapal pun tak ada dan mesti guna pengangkutan udara,” katanya selepas bertemu pimpinan MAVCOM, semalam.
Siew Fook berkata, walaupun wujud desakan harga siling itu dilaksanakan segera menjelang Aidilfitri dua minggu lagi, ia tidak boleh dibuat serta-merta kerana membabitkan implikasi kepada syarikat dan industri penerbangan.