Jambatan Samarahan bakal siap sempena Gawai
Samarahan: Jambatan Samarahan sepanjang 774 meter bernilai RM93 juta yang sudah siap sepenuhnya bakal beroperasi pada hujung bulan ini sempena Hari Gawai.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, berkata jambatan merentangi Sungai Samarahan bakal menghubungkan Kampung Baru dan Kampung Tambey, sekali gus memudahkan pergerakan logistik setempat.
“Tarikh (pembukaan Jambatan Samarahan) dicadangkan sebelum ini ialah pada 25 Mei lalu, namun selepas penyeliaan peringkat akhir ini, tarikh kedua dicadangkan pada 28 Mei depan.
“Bagaimanapun, tarikh itu juga belum dapat disahkan, namun kita berharap ia dapat dibuka kepada orang ramai menjelang Hari Gawai,” katanya ketika merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Gawai dan Aidilfitri Bahagian Samarahan 2018, di sini semalam.
Tambahnya, sebelum dibuka kepada orang ramai, jambatan terbabit mula dibina pada Januari 2015 perlu mendapat pengesahan terakhir Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa strukturnya yang baru siap dibina selamat.
“Kita menjangkakan jambatan baharu ini akan dibuka pada Hari Gawai (1 Jun) untuk kegunaan orang ramai, namun pembukaannya secara rasmi belum diputuskan lagi,” katanya.
Pembinaan Jambatan Samarahan memberi kelegaan kepada penduduk di Bahagian Samarahan kerana memendekkan tempoh perjalanan antara Asajaya dan Kota Samarahan.
Ketika ini, penduduk setempat terpaksa bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi sungai berkenaan.
Sementara itu, keseluruhannya 724 kes kemalangan jalan raya di bahagian Samarahan pada 2017, iaitu di Kota Samarahan sebanyak 532 kes, Asajaya (133 kes) dan Simunjan (59 kes).
Ia memperlihatkan penurunan berbanding 2016 iaitu 752 kes direkodkan, dengan Kota Samarahan (619 kes),asajaya (62 kes) dan Simunjan (71 kes).