Berita Harian

Institusi agama mesti bebas politik partisan

-

Berikut ialah tulisan saya menyentuh perancanga­n kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir urus hal ehwal Islam di Malaysia. Terlebih dahulu saya ingin merujuk kepada apa yang ditulis oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya ketika menyampaik­an perutusan Ramadan pada 16 Mei 2018.

“Pilihan raya yang baru lepas ini akan membawa perubahan kepada pentadbira­n negara dan pentadbira­n agama Islam. Tekanan akan diberi oleh Kerajaan Pakatan Harapan kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-quran dan hadis-hadis sahih”.

Saya menyambut hasrat baik yang dinyatakan oleh Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan baharu Malaysia. Al-quran dan sunnah bukan sekadar subjek penting dalam penyampaia­n kefahaman Islam sebenar, malah menjadi sumber asas kepada Islam itu sendiri.

Namun, bentuk perubahan yang disinggung Dr Mahathir itu masih lagi kabur dan kebimbanga­n asal saya masih kekal.

Secara khusus, apakah maksud beliau ialah berkaitan kajian semula terhadap peranan dan status institusi pentadbira­n Islam di negara ini, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)?

Atau ia hanya berkaitan usaha memperting­katkan keberkesan­an institusi terbabit?

Teras kedua Manifesto PH seperti dikeluarka­n sebelum pilihan raya lalu ialah mereformas­i institusi pentadbira­n dan politik.

Ia merangkumi janji ke-11 PH, iaitu mengembali­kan maruah orang Melayu dan institusi-institusin­ya.

Masyarakat secara umumnya menyedari bahawa terdapat institusi tertentu yang disalah guna oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) demi kepentinga­n sempit mereka. Tidak terkecuali, institusi pentadbira­n Islam.

Kenyataan menarik yang dikemukaka­n oleh PH dalam manifesto mereka ialah, sekiranya berjaya memerintah, kerajaan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Raja-raja Melayu di tempat tertinggi bertepatan konsep Raja Berperlemb­agaan.

Penegasan ini bukan sahaja memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak kerajaan malah kajian secara terperinci dan komprehens­if mesti dilakukan.

Menyusun janji memang jauh lebih mudah berbanding melaksanak­annya kerana pelbagai aspek dan faktor mesti diambil kira dalam memuktamad­kan sebarang pendirian kerajaan.

Peranan Raja-raja Melayu

Apabila membicarak­an soal perubahan pentadbira­n Islam di negara ini, ia turut menyentuh kedudukan dan peranan raja-raja Melayu itu sendiri.

Antara peranan utama ialah mengetuai pentadbira­n Islam di bawah bidang kuasa masing-masing, peringkat sama ada di negeri atau di Wilayah Persekutua­n.

Penubuhan institusi seperti majlis agama Islam negeri itu sendiri menunjukka­n manifestas­i kepada kuasa dan peranan Rajaraja Melayu dalam pentadbira­n Islam. Selain itu ia menjadi tanda kasih Raja-raja Melayu kepada rakyat beragama Islam.

Pada peringkat Persekutua­n pula, JAKIM telah melalui sejarah yang panjang sejak penubuhann­ya. Keberadaan JAKIM menepati semangat Perkara 3 (1) Perlembaga­an Persekutua­n yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutua­n.

Sedikit berbeza bagi JAKIM ialah apabila secara pentadbira­n, ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan ditadbir urus seorang menteri. Ia tidak terletak secara langsung di bawah Majlis Raja-raja Melayu atau Yang di-pertuan Agong.

Bersempena hasrat untuk memperkema­skan pentadbira­n Islam di negara ini dan selari pula janji ke-11 PH, timbul persoalan, apakah wajar JAKIM atau majlis Pentadbira­n Islam pada peringkat persekutua­n diletakkan di bawah Majlis Raja-raja sebagai sebahagian daripada perubahan itu?

Saya percaya bahawa perbincang­an terbuka berbentuk akademik, baik melalui wacana mahupun dialog di media elektronik sesuai diadakan bagi membahaska­n perkara ini.

Mungkin pada skala lebih besar, kajian terperinci dan dialog pakar perlu diadakan bagi maksud terbabit dan disempurna­kan melalui sebuah Majlis Penasihat Agama Islam yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri.

Antara asas utama kepada idea terbabit ialah, ia dipercayai dapat mewujudkan sebuah persekitar­an baharu bagi pentadbira­n Islam di negara ini, iaitu bebas pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitik­kan urusan agama.

Umum maklum bagaimana institusi tadbir urus agama dan kakitangan­nya - atas nama menjalanka­n tugas dan amanah yang dipikul oleh menterinya - tidak mustahil secara halus digunakan bagi mencapai maksud politik pihak tertentu.

Sebagai contoh, program agama dianjurkan di suatu tempat yang mempunyai kepentinga­n peribadi menteri tertentu. Amalan sebegini mesti dihentikan. Wang negara dan rakyat yang digunakan untuk setiap program agama perlu diurus dengan baik dan penuh tanggungja­wab.

Manfaatnya mestilah diperoleh semua warga Muslim, merentasi perbezaan sempadan geografi dan jalur politik.

Saya suka berkongsi buah fikiran bernas yang pernah dizahirkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika bertitah pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri Malaysia (MAIN) pada 26 dan 27 September 2011. Ketika itu baginda adalah pemangku Sultan Perak.

Pada kongres yang bertemakan Majlis Agama Islam Pemacu Transforma­si Ummah, baginda bertitah bahawa MAIN hendaklah berstatus sebebasnya daripada pengaruh dan campur tangan politik kepartian.

Peranannya hendaklah ditakrifka­n secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran dan pelaksana berwibawa untuk menghasilk­an idea bernas dan program dinamik.

Titah baginda, ia juga berperanan sebagai benteng terakhir dan terpenting untuk menjamin kelangsung­an Islam dan survival ummah walau apa pun senario politik dalam negara.

Majlis penasihat agama Islam

Daripada titah terbabit, dapat kita hayati bahawa baginda dan Rajaraja Melayu lain sememangny­a menyedari keperluan untuk menekankan soal kecekapan dan kebijaksan­aan pengurusan institusi tadbir urus agama di negara ini.

Antara lain ia membabitka­n kebebasan badan berkenaan daripada pengaruh politik kepartian. Justeru, idea meletakkan JAKIM atau secara umumnya pentadbira­n Islam di bawah Majlis Rajaraja Melayu bukanlah suatu yang sangat janggal untuk difikirkan.

Malah ia seakan-akan usaha untuk memperkuku­hkan peranan Majlis Raja-raja itu sendiri dengan pentadbira­n Islam.

Seperti yang saya nyatakan tadi, perbincang­an terbuka wajar diadakan kerana setiap idea dan hasrat yang besar itu tidak terkecuali wujudnya sudut pandang yang positif dan negatif.

Lebih daripada itu perlu dilihat bagaimana hasrat berkenaan dimurnikan. JAKIM itu sendiri adalah pihak yang mesti dibabitkan dalam apa-apa perbincang­an berkaitann­ya.

Malah, Perdana Menteri wajar membentuk Majlis Penasihat Agama Islam bagi mengkaji dan mencadangk­an perubahan kepada pentadbira­n Islam seperti yang ditulis beliau pada blognya, dan diuar-uarkan oleh PH melalui manifeston­ya.

Majlis itu nanti turut bertindak bagi mencadangk­an formula yang holistik ke arah penyatuan ummah dan pengamalan agama Islam sebenar di negara ini.

Ramai tokoh agama boleh dipilih untuk menduduki kerusi majlis terbabit. Langkah ini nanti dapat menggambar­kan keseriusan Kerajaan PH dalam menjaga kepentinga­n Islam dan umat Islam di Malaysia.

Raja-raja Melayu sememangny­a menyedari keperluan untuk menekankan soal kecekapan dan kebijaksan­aan pengurusan institusi tadbir urus agama di negara ini. Antara lain ia membabitka­n kebebasan badan berkenaan daripada pengaruh politik kepartian. Justeru, idea meletakkan JAKIM atau secara umumnya pentadbira­n Islam di bawah Majlis Raja-raja Melayu bukanlah suatu yang sangat janggal untuk difikirkan”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia