Berita Harian

Skuad hoki raih dua kemenangan moral

-

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara dilihat cukup bermotivas­i tinggi menjelang perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu England, Jumaat ini di saingan Sukan Komanwel, selepas mencatat dua kemenangan pada perlawanan persahabat­an dengan pasukan kelab, New South Wales Institute of Sports (NSWIS).

Kapten Malaysian Tigers, Mohamad Sukri Abdul Mutalib mengakui dua kemenangan itu - 4-2 pada aksi pertama dan 5-2 kelmarin sememangny­a memberi lebih keyakinan pasukan untuk mengharung­i cabaran sebenar di Gold Coast, Australia.

“Ia adalah satu keputusan yang bagus tapi dalam masa sama kami tidak boleh berasa terlalu selesa.

“Dua perlawanan ini juga dapat membentuk persefaham­an yang lebih baik dikalangan pemain. Tapi harus diingat, masih adalah lagi kelemahan yang perlu kami perbaiki,” katanya.

Jelas Sukri, mood di dalam pasukan sejak tiba di Gold Coast minggu lalu sangat baik dan persiapan tampak berjalan dengan lancar.

“Mungkin kami mampu cipta kejutan, tetapi itu semua bergantung pada hari perlawanan.

Komitmen tinggi

“Saya cukup yakin jika kesemua pemain cukup bersedia dan memberikan komitmen yang tinggi, prestasi konsisten ini bakal berterusan pada perlawanan sebenar nanti,” katanya.

Pertahanan negara itu bagaimanap­un kekal mengingatk­an rakan sepasukann­ya bahawa kedua-dua kemenangan pada perlawanan persahabat­an itu bukan jaminan mereka mampu mengharung­i saingan peringkat kumpulan dengan mudah.

“Harus diingat, saingan pada peringkat kumpulan lebih sukar berbanding pertemuan dengan New South Wales,” katanya.

Malaysia akan turun pada perlawanan persahabat­an terakhir menentang tuan rumah, Australia, esok.

Selain England, skuad negara juga diundi bersamasam­a India, Pakistan dan Wales dalam Kumpulan B.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia