Banyak pulau di Asia Tenggara ditutup
Pihak berkuasa mahu lindungi ekosistem akibat pemanasan laut, kesesakan
Semakin banyak pulau popular di Asia Tenggara akan dihadkan kepada pengunjung tahun ini, ketika pihak berkuasa cuba melindungi ekosistem marin daripada pemanasan laut dan pembangunan meluas walaupun tindakan itu menjejaskan pendapatan pelancongan dan puluhan ribu pekerjaan.
Thailand akan menutup Maya Bay, menjadi terkenal sebagai tempat penggambaran filem The Beach dibintangi Leonardo Dicaprio selama empat bulan dalam setahun mulai Jun ini.
Di Filipina, pihak berkuasa negara itu merancang menutup Pulau Boracay selama enam bulan akhir April.
Terumbu karang berkurangan
“Pulau memiliki ekosistem amat lemah yang tidak boleh terlalu terdedah kepada ramai manusia, pencemaran daripada bot dan kewujudan hotel di tepi pantai.
“Jumlah terumbu karang semakin berkurangan akibat suhu laut lebih panas dan terlebih sesak. Ada ketikanya, penutupan penuh satusatunya cara bagi membolehkan alam semula jadi sembuh,” kata pakar marin ibu kota ini, Thon Thamrongnawasawat.
Lebih tiga perempat terumbu karang di Thailand rosak akibat peningkatan suhu laut dan aktiviti pelancongan berleluasa, kata Thon.
Minggu lalu, beliau mencadangkan jumlah pengunjung ke 22 taman marin di Thailand dihadkan kepada enam juta orang setahun untuk memberi ruang pemulihan dengan 5.5 juta pelawat ketika ini.
Thailand menutup puluhan kawasan menyelam kepada pelancong pada 2011, selepas suhu laut panas menyebabkan kerosakan teruk pada terumbu karang di Laut Andaman, antara destinasi menyelam utama di dunia. Ia juga menutup beberapa pulau pada 2016.
Pantai berpasir negara itu membantu menarik jumlah pelancong rekod pada tahun lalu dengan pendapatan sektor itu menyumbang 12 peratus kepada ekonomi.
Kerajaan Thailand menjangka 38 juta kehadiran pelancong tahun ini.
Asia Tenggara dijangka menanggung kesan peningkatan kerosakan terhadap terumbu karang, sekali gus mengehadkan pendapatan nelayan dan menyebabkan banyak negara terdedah kepada ribut serta kerosakan akibat peningkatan paras laut, menurut beberapa kajian sebelum ini.
Filipina adalah negara paling terdedah kepada perubahan iklim. Tahun lalu, kirakira dua juta pengunjung melawat Boracay yang terkemuka dengan pantai pasir putihnya.
Dalam satu lawatan bulan lalu, Presiden Rodrigo Duterte menggelar pulau itu sebagai pembetung najis kerana sisa kumbahan dibuang secara terus ke dalam laut dan memberi amaran, bencana alam semula jadi apabila bangunan dibina terlalu dekat dengan pesisir pantai.