Bagan Datuk bakal jadi hab automotif negara
Bagan Datuk: Daerah Bagan Datuk bakal menjadi hab automotif negara yang baharu apabila dua syarikat pengeluar kenderaan merancang melabur di daerah itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebuah syarikat dari China menyatakan hasrat untuk membuka kilang pemasangan kenderaan elektrik untuk eksport di kawasan seluas 40 hektar berdekatan muara Sungai Bernam di Hutan Melintang di sini.
Katanya, syarikat berkenaan akan bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta milik rakyat tempatan untuk membangunkan kilang berkenaan.
“Akan ada 2,000 peluang pekerjaan baharu dan saya sudah meminta agar anak Bagan Datuk diberi keutamaan untuk bekerja di situ,” katanya.
Beliau merasmikan MAI Auto Festival 2018 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang di sini, semalam.
Program selama tiga hari bermula semalam anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) itu disertai lebih 60 syarikat berkaitan automotif, termasuk 12 pengeluar kenderaan.
Ahmad Zahid berkata, sebuah lagi syarikat automotif ialah Tan Chong Motor Holdings Berhad yang merancang membuka kilang pemasangan kenderaan berat di kawasan seluas 135 hektar berhampiran Sungai Perak dekat pekan Bagan Datuk.
Katanya, ketika ini syarikat berkenaan dalam perundingan dengan Sime Darby Berhad untuk membeli tanah di kawasan berkenaan.
Penduduk daerah diutama
Beliau berkata kilang berkenaan akan menawarkan 4,000 peluang pekerjaan baharu dan beliau juga meminta keutamaan diberikan kepada penduduk daerah itu untuk bekerja di situ.
“Pembukaan dua kilang ini nanti bersesuaian dengan penubuhan Politeknik Bagan Datuk yang ada dua jabatan menawarkan pengajian dalam bidang kejuruteraan marin dan kejuruteraan automotif,” katanya.
Ahmad Zahid juga berkata, ketika ini terdapat 27 pengeluar jenama kenderaan dalam negara; 641 pengeluar tempatan; 53,000 pengedar, penjual dan pusat servis serta lebih 700,000 pekerja dalam sektor automatif.
Katanya, industri automotif menyumbang kira-kira 3.6 peratus atau RM40 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kerajaan menyasarkan sumbangan itu meningkat kepada 10 peratus pada tahun 2020 dengan Bagan Datuk menjadi sebahagian daripada penyumbangnya.