2 maut dirempuh kereta terbabas
Kota Samarahan: Nasib malang menimpa seorang lelaki yang sedang berkebun di bahu jalan, apabila dia maut dirempuh kereta yang terbabas di Sadong Jaya, di sini, pagi semalam.
Mangsa, Amat Nasip Maderusti, 64, yang ketika itu sedang memeriksa sayuran tanamannya di kebun yang terletak di bahu jalan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Seorang penunggang motosikal berusia 68 tahun, yang dirempuh kereta terbabit dari belakang, turut maut di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata kemalangan pada jam 6.45 pagi itu membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal.
Kereta hilang kawalan
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku selepas kereta Perodua Viva yang dipandu gadis berusia 18 tahun yang dalam perjalanan dari Sadong Jaya menuju Sekolah Menengah Kebangsaan Pasentren, tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui jalan lurus.
“Kereta terbabit kemudiannya merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga emas, yang bergerak di laluan sama.
“Selepas melanggar motosikal, kereta itu terbabas dan melanggar pula mangsa lain,” katanya.
Beliau berkata, selepas itu, kereta yang dipandu gadis terbabit terus berpusing dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar pula dengan sebuah kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun,” katanya.
Tidak cedera
Alexson berkata, gadis terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala lelaki yang memandu Perodua Kancil, mengalami kecederaan ringan.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk menjalani bedah siasat petang ini (petang semalam).
“Kes itu masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.