KTC kumpul 75 pain darah
Kimanis: Sebanyak 75 pain darah dapat dikumpul pada kempen derma darah yang diadakan sempena Hari Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar 2018 (HSE DAY 2018) anjuran Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC), di sini, kelmarin.
Pengarah Hospital Beaufort, Dr K Sutharsan, berkata program yang diadakan sejak 2011 itu adalah acara tahunan KTC yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
“Pada masa sama, ia bertujuan mendidik serta membiasakan diri pelajar dan kakitangan untuk menderma darah,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
HSE DAY 2018 itu dirasmikan Ketua Pusat Latihan Petroleum Kimanis, Moh Ariffin Abd Ahaling.
Yang turut hadir pada program itu ialah rakan strategik KTC dan 30 pelajar Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Kinarut.
Selain kempen derma darah yang menjadi antara pengisian program, turut diadakan ialah ceramah kesihatan daripada doktor panel PETRONAS, pameran kesihatan dan gaya hidup sihat daripada Hospital Beaufort serta pemeriksaan gigi percuma daripada Klinik Pergigian Bergerak Negeri Sabah.
Pameran oleh AADK
Turut diadakan ialah pameran oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Beaufort, pameran oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), selain kuiz serta cabutan tiket bertuah.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sutharsan berkata, pihak Hospital Beaufort mengalu-alukan mereka yang ingin menderma darah untuk datang terus ke Unit Tabung Darah Hospital Beaufort yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.