BAM kini fokus pemain muda
Norza juga minta jurulatih nilai pemain berdasarkan prestasi sebenar
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu jurulatih memberi fokus yang lebih kepada pemain muda bagi mengatasi masalah kebergantungan ke atas pemain senior dalam misi meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata jurulatih perlu menukar cara penilaian mereka dengan berpandukan kepada prestasi semasa dan bukan lagi berdasarkan senioriti.
“Ada masanya jurulatih mengambil jalan selamat dengan fokus diberi kepada pemain senior kerana tahu mereka boleh menghasilkan keputusan yang baik. Namun, tiba masanya kita membuat pelaburan demi kepentingan masa depan.
“Sebab itu, saya mahu meletakkan semua pemain di bawah satu bumbung di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara termasuk pemain dari SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil). Mereka akan belajar serta berlatih di sana bersama pemain pelapis dan elit.
“Jadi, jurulatih perlu membuat penilaian sepenuhnya berdasarkan prestasi dan bukan lagi berdasarkan senioriti,” kata Norza ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Debit Bank Islam-bam di hotel terkemuka, di sini, semalam.
Misbun pilih pemain
Norza sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati dan memberi tempoh tiga bulan kepada semua pemain untuk bangkit atau berdepan dengan tindakan digugurkan daripada skuad negara.
Ia susulan prestasi hambar pemain negara ketika saingan Seluruh England baru-baru ini yang menyaksikan tiada wakil Malaysia berjaya ke final berbanding edisi tahun lalu apabila jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei muncul juara dan beregu campuran menjadi naib juara.
Mengulas lanjut, Norza berkata luahan rasa tidak puas hatinya adalah untuk menyedarkan pemain yang mereka tidak boleh terlalu selesa dengan segala kemudahan yang diberikan selain sedar dengan tanggungjawab mereka kepada negara.
Dalam perkembangan lain, Norza menyerahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek menentukan pemain keempat yang akan membarisi skuad negara menghadapi Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, Mei depan.
Pemain perseorangan profesional, Goh Giap Chin antara yang disebut-sebut wajar diberi pertimbangan berdasarkan prestasi semasanya dalam kejohanan antarabangsa selain bintang muda meningkat naik, Leong Jun Hao.
Tiga pemain perseorangan sudah hampir pasti mendapat tempat iaitu Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.