Korea, Pyongyang runding 27 April
Lawatan Jong-un ke China percepatkan sidang kemuncak di Panmunjom
Korea Utara dan Korea Selatan bakal mengadakan sidang kemuncak pertama selepas lebih satu dekad pada 27 April ini, kata seorang pegawai Korea Selatan, semalam.
Sidang itu dibuat selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyuarakan kesediaannya untuk menghentikan program nuklear ketika ketegangan antara dua musuh tradisi itu mula reda.
Pegawai Korea Selatan yang mengumumkan tarikh sidang kemuncak selepas perbincangan peringkat tertinggi antara wakil kedua-dua negara terbabit berkata, antara agenda utama sidang kemuncak itu adalah untuk menghentikan program nuklear di Semenanjung Korea dan memulihkan hubungan antara dua negara Korea itu.
“Kami masih mempunyai jumlah isu yang sama untuk diselesaikan pada peringkat kerjasama sebagai persiapan untuk bulan depan.
“Tetapi jika kedua-dua pihak memahami kepentingan sejarah dan makna sidang kemuncak ini serta memberikan kerjasama sepenuhnya, kami akan mampu menyelesaikan masalah dengan cepat dan mesra,” kata Pengerusi Jawatankuasa Korea Utara, Ri son Gwon dalam ucapan penutupnya kepada delegasi Korea Selatan.
Keselamatan dan siaran berita
Kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak di kawasan perkampungan sempadan Panmunjom ketika Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in menghantar delegasi ke Pyongyang baru-baru ini untuk bertemu dengan Jong Un.
Pertemuan semalam adalah dialog peringkat tertinggi pertama diadakan antara dua negara Korea itu sejak delegasi Korea Selatan kembali dari Korea Utara.
Kedua-dua negara itu dalam kenyataan bersama berkata, mereka bakal mengadakan mesyuarat kerjasama pada 4 April kini untuk membincangkan butiran sidang kemuncak, kakitangan sokongan, keselamatan dan siaran berita.
Reuters