Safura bangkit semula
Trauma anak meninggal sukar dilupakan
Pemergian anak perempuannya tujuh tahun lalu membekas luka paling dalam kepada pelakon dan penyanyi, Safura Yaacob. Meninggal dunia pada usia tiga tahun akibat demam panas membuatkan penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Sedalam Mana Cintamu ini hidup berendam air mata.
Bukan hanya meninggalkan kesan kepada jiwa wanita berusia 45 tahun ini, tetapi pemergian anaknya itu juga membuatkan minat dan keinginan Safura untuk meneruskan langkah kerjaya seni terbantut seketika.
Perlahanlahan, kelibat Safura semakin hilang dari radar dunia hiburan. Lama menghilangkan diri, Safura bagaimanapun, kembali mengubat rindu apabila membintangi drama bersiri Ustazah Pencen sebagai pelakon utama.
Tidak hanya itu, Safura juga akan menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Ibu pada Mei ini. Ditemui di lokasi penggambaran drama Ustazah Pencen, Safura yang tetap ramah seperti dahulu berkata, kemunculan semulanya itu bukan bermakna dia mahu kembali aktif kerana keutamaan masih diberikan kepada keluarga.
“Insiden kehilangan anak memberi impak besar kepada diri. Saya jadi trauma dan takut untuk meninggalkan anak tanpa pengawasan. Saya tidak mahu menyesal jika perkara buruk berlaku.
“Sepanjang lima tahun itu, saya habiskan masa di rumah sambil menjalankan perniagaan produk makanan. Bukan tidak ada tawaran yang datang, tetapi saya terpaksa menolak dengan cara baik.
“Ada ketika perasaan rindu untuk kembali menyanyi dan berlakon hadir, tetapi saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya,” kata Safura membuka bicara.
Hebat beraksi
Sebagai pelakon, tiada siapa yang mampu menyangkal kehebatannya beraksi di layar kaca mahu pun di pentas teater. Watak Rokiah dalam pementasan Ronggeng Rokiah arahan Dr Anuar Nor Arai membuka mata banyak pihak terhadap kehebatan Safura sebagai insan seni sejati.
Justeru, tidak hairan andai dia masih menjadi buruan produser yang mendambakan khidmatnya. Menurut Safura, pernah juga dia cuba kembali ke lokasi penggambaran, namun ia tidak bertahan lama.
“Ketika itu, saya kerap hilang fokus kerana asyik terkenangkan anak-anak di rumah menyebabkan saya terpaksa melupakan bidang itu. Sekarang ini, anak-anak semakin membesar dan saya juga mempunyai masa terluang.
“Bagaimanapun, ada syarat yang perlu dipersetujui iaitu saya tidak boleh berlakon di luar Kuala Lumpur dan tidak membabitkan drama yang panjang kerana anakanak masih belajar,” kata isteri kepada pelakon, Shahrolnizam Nor ini.
Pasangan ini disatukan sebagai suami isteri pada Januari 2005 dan hasil perkongsian hidup selama 13 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Nuraisyah Mariam
Safura
(meninggal dunia ketika berusia tiga tahun), Yusoff Firdaus, 9, Zara Nuraisyah, 6, dan Ariana Sofea, 4.
Suami halang sertai program realiti
Tidak dinafikan, ketika zaman kemuncaknya, Safura adalah antara penyanyi wanita yang dikurniakan vokal hebat dan kebanyakan lagu nyanyiannya menjadi siulan ramai. Kehebatannya itu masih diperkatakan, membuatkan ramai tertanya tidakkah dia berhasrat menyertai program realiti, Gegar Vaganza untuk mengembalikan ingatan peminat terhadap bakatnya.
Menjawab pertanyaan itu, penyanyi yang menimba pengalaman di kelab malam ini mendedahkan suaminya pernah menghalang dia menyertai program terbabit.
“Shahrol tidak berapa berkenan jika saya menyertai pertandingan kerana baginya, saya tidak perlu bertanding dengan sesiapa. Dia juga tidak sanggup mendengar saya dikritik juri. Baginya, tiada siapa boleh mengkritik nyanyian saya.
“Saya tiada masalah kerana itu adat pertandingan. Saya bersedia terima kritikan kerana sudah begitu konsep pertandingan,” katanya sambil ketawa.
Tambah Safura lagi, seandainya rezeki tertulis untuk menyertai musim terbaru GV, dia terpaksa memujuk Shahrol untuk meminta izin.
Rai jasa ibu
Mengulas pembabitannya dalam majlis Sepetang Bersama Bonda Ratuku bersama dua bintang popular, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Liza Hanim pada 1 Mei ini di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, Safura mengakui teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan mereka yang hadir.
“Ini adalah persembahan besar yang akan saya jayakan. Selain menyanyikan lagu popular, saya juga akan membawa lagu yang menepati konsep persembahan untuk meraikan kaum ibu,” ujarnya.
Majlis anjuran MAC Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Hotel Premiera itu turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen dan persembahan daripada pelajar Ogy Centre Stage & Academy serta cabutan bertuah.
Maklumat untuk menyaksikan persembahan ini boleh didapati dengan melayari laman sesawang: www.premiera.com.my.
Ada syarat yang perlu dipersetujui iaitu saya tidak boleh berlakon di luar Kuala Lumpur dan tidak membabitkan drama yang panjang kerana anak-anak masih belajar”