Berita Harian

Dua pemain Sarawak diberi rehat 4 hari

- Oleh Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Dua pemain Sarawak yang dibebaskan daripada dakwaan mengatur perlawanan sebelum ini diberi rehat empat hari oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

Perkara itu dimaklumka­n pengurus pasukan Ngap Sayot, Wahab Abdul Rahim yang menjelaska­n kedua-duanya diberikan rehat sehingga Ahad ini, sekali gus terlepas aksi Liga Perdana berdepan Sabah di Stadium Likas, hari ini.

“Kami beri mereka rehat dulu bermula hari ini dan panggil balik untuk latihan minggu depan. Kami ikut kontrak sebab mereka masih pemain kami.

“Perkara ini mendapat persetujua­n Exco dan kami beri rehat bagi memberi ruang kepada mereka selepas berdepan siasatan (Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Keputusan positif

Dua pemain itu bersama seorang lagi individu yang disyaki bookie dibebaskan dengan jaminan SPRM kelmarin, selepas direman enam hari bermula 15 Februari lalu.

Mengulas mengenai pertemuan berdepan Sabah, Wahab menuntut semua pemain memberi fokus sepenuhnya dan melupakan mengenai isu dakwaan mengatur perlawanan.

“Sabah kini berada dalam prestasi terbaik mereka dan sudah pasti kami akan ambil kira semua itu bagi melakukan persediaan termasuk dari segi merancang strategi.

“Jika mengikut pengalaman lepas, pertemuan Sarawak dengan Sabah sentiasa sengit dan seimbang. Kalau kami kalah atau menang pun dengan jaringan yang tidak besar.

“Kami dan mereka (Sabah) ada kekuatan masing-masing. Jadi, tiada masalah untuk mendapatka­n keputusan positif sekiranya pemain beraksi mengikut segala yang dirancang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia