Berita Harian

SPRM pertikai keputusan CPI

Malaysia wajar di kedudukan lebih baik jika ambil kira tindakan agresif perangi rasuah

- Oleh Safeek Affendy Razali dan Hidayatul Akmal Ahmad

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 tidak mencermink­an tindakan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata kedudukan itu tidak selari dengan usaha pihaknya menangani rasuah melalui operasi dan penguatkua­saan secara berterusan.

Katanya, Malaysia sepatutnya diletakkan pada kedudukan lebih baik jika mengambil kira tindakan agresif dan tangkapan ke atas individu yang terbabit dalam kegiatan rasuah.

“Apabila indeks ini dikeluarka­n, ia tidak memberi gambaran tepat dengan tindakan diambil SPRM sendiri seperti membuat tangkapan yang agresif sejak 2017,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), di sini, semalam.

Mengikut laporan indeks yang dikeluarka­n Transparen­cy Internatio­nal Malaysia (TI-M), semalam, Malaysia berada di tangga ke62 daripada 180 negara berbanding ke-55 daripada 176 negara pada 2016.

Malaysia mencatatka­n skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI tahun lalu, menurun dua mata berbanding 49 pada 2016.

Skor dalam CPI

Skor dalam CPI ditentukan menurut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarka­n skala ‘kosong’ (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Dzulkifli berkata, kajian dijalankan oleh Transparen­cy Internatio­nal yang berpangkal­an di Berlin, Jerman, itu tidak hanya memfokuska­n kepada rasuah sebagai subjek kajian, sebaliknya isu berkaitan hak asasi manusia, senario politik dan kestabilan menjalanka­n perniagaan di Malaysia.

Katanya, perkara itu secara amnya tidak berada dalam lingkungan tugas SPRM yang memfokuska­n kepada usaha membantera­s gejala rasuah.

“Bagi saya, kalau melihat tindakan yang dilakukan pada 2017, kita bukan hanya menumpukan kepada penguatkua­saan, malah usaha mendidik masyarakat sebagai langkah pencegahan.

“Kalau diikutkan realiti dalam negara, sepatutnya indeks berkenaan berada lebih baik berbanding 2016 dan sebab itu saya terkejut dengan penemuan yang dibuat oleh TI-M kerana tidak selaras dengan tindakan SPRM,” katanya.

Beliau juga berkata, SPRM bercadang untuk mewujudkan Indeks Rasuah Khas bagi mengenalpa­sti prestasi dan situasi rasuah di negara ini.

“Cadangan itu akan dibincangk­an dalam mesyuarat penasihat SPRM sebelum diserahkan kepada jemaah menteri,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata kerajaan memandang serius mengenai indeks berkenaan dan akan mengambil langkah untuk memperbaik­inya. Beliau percaya penangkapa­n kes berprofil tinggi pada tahun kebelakang­an ini menyebabka­n CPI Malaysia merosot.

“Bagaimanap­un, ini tidak boleh menghalang SPRM daripada membuat penguatkua­saan agresif dan kerajaan daripada membuat perubahan transforma­si jangka panjang.

“Sejak beberapa tahun lalu, SPRM menunjukka­n komitmen padu untuk menguatkua­sakan Akta SPRM dan perundanga­n berkaitan antirasuah dengan membuat pelbagai tangkapan termasuk terhadap individu berprofil tinggi,” katanya yang mengulas laporan itu.

Beliau berkata, publisiti dan pendedahan berprofil tinggi yang diberikan SPRM kepada kes terutama pada tahun lalu, mungkin mendatangk­an lebih banyak persepsi negatif yang menyumbang kepada kejatuhan skor CPI 2017 dan penarafan di Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia