Rumah sewa bantu pesakit
Sibu: Inisiatif Kementerian Kesihatan menyewa dua lot rumah kedai bagi menangani kesesakan pesakit di poliklinik di Jalan Oya, di sini, mampu menambah baik kehidupan penduduk.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bukit Assek, Joseph Chieng, berkata masalah itu sudah lama berlanjutan dan usaha berkenaan memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan kemudahan kesihatan lebih selesa untuk rakyat.
“Dalam sehari, purata 700 hingga 1,000 pesakit berkunjung ke poliklinik ini bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan. Malah, jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding kapasiti asal poliklinik.
“Saya sendiri ada berbincang mengenai isu ini bersama beberapa pegawai Kementerian Kesihatan. Ini membuktikan kementerian peka dan mengambil inisiatif menyewa dua lot rumah kedai berhampiran,” katanya ketika dihubungi semalam.
Langkah proaktif
Beliau berkata, penyewaan lot kedai itu juga disifatkan sebagai penyelesaian jangka pendek kerana penyelesaian terbaik adalah membesarkan atau membina sebuah poliklinik baharu di Sibu.
“Bangunan poliklinik sedia ada sudah berusia puluhan tahun, jadi sebuah lokasi baharu perlu dikenal pasti untuk membina poliklinik baharu,” katanya.
Chieng berkata, selain poliklinik berkenaan, penduduk setempat boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan, termasuk empat Klinik 1Malaysia yang ada di bahagian ini.
Selain Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu, kemudahan sama disediakan di Rejang Park, Jalan Bandong dan Jalan Salim.