Dua penempatan pendatang kena serbu
32 ditahan dalam gerakan PGA, imigresen
Dua lokasi, masing-masing di tapak pembinaan perumahan di Senadin dan tapak projek pencawang elektrik di Tudan, di sini dikenal pasti menjadi ‘perkampungan’ pendatang asing tanpa izin.
Berikutan aduan orang ramai, penempatan itu diserbu pada 8.30 pagi kelmarin menerusi operasi khas, Ops Libas, membabitkan penahanan 24 lelaki, tujuh wanita dan seorang kanak-kanak perempuan Indonesia berusia lima hingga 50 tahun.
Pegawai Pemerintah Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, Superintendan Tan Hiap Seng, berkata operasi khas itu yang turut membabitkan kerjasama Imigresen Miri, susulan aduan awam mengenai kebanjiran pendatang di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas aduan itu, kita menjalankan risikan di lokasi terbabit sebelum mendapati kedua-dua tapak pembinaan seolah-olah menjadi ‘perkampungan’ warga asing sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk.
Pelbagai kesalahan
“Siasatan dapati pendatang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, selain tinggal melebihi masa di negeri ini serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam pada itu, Hiap Seng berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun, dipercayai penyelia tapak projek pembinaan pencawang elektrik ditahan untuk siasatan lanjut.
“Semua warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Bekenu dan kes diserahkan kepada Imigresen Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, semua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.