Persiapan festival di Kuantan semakin rancak
Kuantan: Generasi muda di sini boleh memanfaatkan Festival Gegaria edisi ketiga yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Darul Makmur, Sabtu ini, bagi mendapatkan pengalaman baharu dan pelbagai aktiviti berfaedah.
Ia sejajar dengan tarikan utama Festival Gegaria yang berkonsepkan moden, hipster dan penuh warna-warni menjadi pilihan kepada pengunjung terutama generasi muda sepanjang festival itu diadakan.
Bagi Razlan Arif Abdullah, 20, dari Tanjung Lumpur, di sini, penganjuran Festival Gegaria itu di negeri ini bukan saja membuka peluang perniagaan kepada generasi muda, malah dapat mendekatkan golongan itu dengan aktiviti bermanfaat pada cuti hujung minggu.
Manfaat pengisian, program
Katanya, remaja dan belia harus memanfaatkan pengisian dan program yang ada dalam Gegaria kerana turut menampilkan beberapa artis tempatan bagi memeriahkan festival anjuran Media Prima Berhad itu.
Tinjauan ke lokasi perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, mendapati persiapan dilakukan kontraktor dilantik memasuki fasa akhir apabila beberapa khemah dan gerai pempamer sudah didirikan.
Kerja pemasangan khemah yang bermula seawal jam 10 pagi itu ternyata menarik minat penduduk setempat yang tidak sabar menantikan Festival Gegaria yang menjadikan negeri ini destinasi terakhir ia diadakan.
Sebelum ini, Media Prima Berhad menganjurkan Festival Gegaria di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam sebagai destinasi pertama karnival sebelum beralih ke Johor Bahru sebagai destinasi kedua.
Festival Gegaria ialah acara hipster pelbagai elemen gaya hidup dengan fokus utama generasi muda yang boleh dikongsi melalui hashtag #gogegaria #gegariafest #festivalgegaria.