Berita Harian

Bekas MB sokong tawan semula Selangor

-

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, menegaskan ‘kemunculan­nya’ di Konvensyen UMNO Selangor semalam bukan untuk menyertai UMNO.

Sebaliknya, bekas ‘orang kuat’ PKR itu berkata, beliau hadir pada konvensyen tertutup bersama kepemimpin­an tertinggi UMNO itu sebagai sokongan terhadap parti itu untuk menawan semula Selangor.

Ahli Parlimen Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu berkata, beliau sanggup bekerjasam­a dengan mana-mana pihak demi kepentinga­n rakyat, terutama di Selangor.

“Saya masih bergerak sebagai anggota Bebas. Ada baiknya gerak secara bebas kerana orang Selangor tidak khuatir. Tujuannya adalah menjayakan rakyat Selangor.

“Parti saya rakyat Selangor...saya sambut baik usaha ke arah perpaduan umat Islam daripada pihak kerajaan mahupun pembangkan­g supaya Selangor maju dan makmur dengan kesatuan ini. Saya yakin usaha ini lebih efektif,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalanka­n tugas-tugas timbalan presiden.

Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang juga Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyertai semula UMNO daripada PKR pada September lalu.

Khalid duduk di atas pentas, sebaris dengan kepemimpin­an kanan UMNO ketika konvensyen itu dirasmikan Ahmad Zahid.

Khalid berkata, beliau komited bekerja demi memenuhi hasrat ummah kerana berpendapa­t Selangor perlu berubah dengan parti yang boleh menerajui negari itu.

Katanya, beliau juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana lebih senang dan bebas berjuang seperti sekarang.

“Kalau sesiapa terajui sama ada UMNO, mereka dapat satu padukan ummah, ok bagi saya.

“Ini adalah politik matang. Politik untuk cari pemimpin yang boleh terajui negeri kita. Rakyat lebih pandai daripada itu, biar mereka sendiri pilih wakil,” katanya.

 ?? [FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] ?? Khalid pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen UMNO Selangor 2017 di PWTC, semalam.
[FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] Khalid pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen UMNO Selangor 2017 di PWTC, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia