Berita Harian

CEO Zakat Pulau Pinang didakwa terima RM9,000

-

Butterwort­h: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP) semalam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima sejumlah RM9,000 bagi kepentinga­n dirinya, sejak 2014

Tertuduh, Datuk Azman Abdul Samat, 50, mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan dikenakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, Azman didakwa menerima satu benda berharga iaitu cek bernilai RM5,000 dengan tiada balasan daripada seorang ahli perniagaan yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya pada Januari 2014 di pejabat ZPP di Bandar Perda, Seberang Perai Tengah.

Bagi pertuduhan kedua, dia yang sudah menjadi CEO selama 17 tahun di ZPP didakwa melakukan kesalahan sama dengan menerima RM4,000 daripada seorang pemilik perniagaan di pejabat yang sama, antara 28 Disember hingga 30 Disember tahun lalu.

Penjara maksimum dua tahun

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau keduaduany­a.

Sitarun Nisa kemudianny­a membenarka­n tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan.

Hakim menetapkan 29 Disember ini untuk penyerahan dokumen.

Tertuduh yang memakai jaket berwarna coklat diwakili peguam Reza Rahim dan Rajivan Nambiar, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.

 ?? [FOTO DANIAL SAAD/BH] ?? Azman diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Butterwort­h, semalam.
[FOTO DANIAL SAAD/BH] Azman diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Butterwort­h, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia