Berita Harian

Kakitangan Air Koryo bantu tiga suspek keluar Malaysia

Saksi tidak tahu pesawat dinaiki ketiga-tiga individu

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Pekerja syarikat penerbanga­n Air Koryo yang dikenali dengan nama Kim Uk-il membantu tiga suspek dalam kes bunuh warga Korea Kim Chol (yang didakwa sebagai abang Korea Utara Kim Jong-nam) keluar dari Malaysia, Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/klia, Asisten Superinten­dan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, berkata Uk-il membantu Hong Song Sac, 34; Ri Ji Hyon, 33; dan Ri Jae Nam, 57, mendaftar masuk ke dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA).

Menjawab soalan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh pertama Siti Aisyah pada sesi pemeriksaa­n balas, saksi kesembilan pendakwaan itu bersetuju bahawa Uk-il membantu ketiga-tiga suspek dalam proses mendaftar masuk, bagaimanap­un tidak mengetahui pesawat apa yang dinaiki mereka.

Pada prosiding kelmarin, Wan Azirul Nizam, berkata siasatan pihaknya mendapati Song Hac yang juga dikenali dengan nama samaran Mr Chang, Jae Nam (Hanamori) dan Ji Hyon (Mr Y) keluar dari Malaysia menaiki penerbanga­n ke Jakarta pada jam 12.30 tengah hari, 13 Februari lalu, iaitu selepas insiden Kim Chol diserang.

Sementara itu, Wan Azirul Nizam bersetuju dengan cadangan Soon Seng bahawa Uk-il seharusnya beliau mengetahui pesawat mana yang dinaiki ketiga-tiga individu itu.

Menjawab persoalan mengapa beliau tidak mendapatka­n maklumat tiga individu itu daripada Uk-il, saksi menjelaska­n, pada peringkat awal siasatan beliau tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai tiga lelaki itu dan seorang lagi yang dikenali dengan nama O Jong Gil (James) serta identiti Uk-il.

“Jadi sukar untuk saya mendapatka­n ‘passenger manisfest’ (maklumat penumpang) kerana ia membabitka­n ratusan penumpang,” katanya.

Tak setuju suspek naik teksi

Wan Azirul Nizam turut tidak bersetuju dengan cadangan Soon Seng bahawa ketiga-tiga suspek itu menaiki teksi dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) menuju ke KLIA dengan dibantu oleh Uk-il.

Saksi juga menafikan cadangan peguam, bahawa adalah tidak susah baginya untuk mendapatka­n nama tiga individu itu daripada pihak imigresen.

Soon Seng: Pada prosiding semalam kamu menyatakan tiga orang ini pergi ke Jakarta pada 13 Februari. Mereka menaiki pesawat apa? Wan Azirul Nizam: Tidak

ingat. Soon Seng: Rujuk diari siasatan. Wan Azirul Nizam: Tiada dalam catatan.

Soon Seng: Jadi sehingga hari ini kamu tidak tahu pesawat apa mereka ambil? Wan Azirul Nizam: Tidak ingat. Soon Seng: Daripada pesawat, kita boleh mengetahui ‘passenger manifest’? Wan Azirul Nizam: Setuju. Soon Seng: Adakah kamu siasat ‘passenger manifest’? Wan Azirul Nizam: Saya ada terima senarai itu. Ia ada dalam kertas siasatan.

Tak buka spesimen

Sementara itu, pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak membuka spesimen darah, air kencing, tisu mata, kandungan perut, paru-paru, buah pinggang, hati dan otak milik Kim Chol kerana ia boleh menyebabka­n bau yang tidak menyenangk­an di mahkamah.

Keputusan berkenaan tidak dibantah oleh pihak pembelaan. Spesimen itu kemudian dicamkan oleh Wan Azirul Nizam.

Perbicaraa­n di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia