Gimik ʻteam’ duo pereka hangatkan pentas peragaan
Gimik Rizman Ruzaini menggunakan khidmat Nasha Aziz ketika memperagakan koleksi rekaannya sempena Kuala Lumpur Fashion Week Ready To Wear 2017 (KLFW RTW 2017) barubaru ini disifatkan cukup ‘menjadi’.
Supermodel berkenaan dilihat bijak ‘berdrama’ ketika di pentas peragaan, sekali gus membangkitkan aura dramatik dalam busana yang digayakan.
Seluruh hadirin seakan terpukau dengan setiap liuk lentuk langkahnya yang sentiasa mendapat tepukan dan sorakan gemuruh, menyerlahkan kehebatan wanita yang juga aktres itu di pentas peragaan.
Kehadiran Nasha sebagai wajah ilham (muse) Team Riz (Rizman) adalah antara yang mewarnai kemeriahan KLFW RTW 2017 yang berlangsung selama lima hari pada 16 hingga 20 Ogos lalu, di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur.
Aksi lincah hangatkan pentas
Sementara supermodel
Tini atau nama sebenarnya, Hartini Yasin yang menjadi wajah ilham Team Ruz (Ruzaini) mempamerkan aksi lincah di pentas, menghangatkan kemeriahan acara tahunan yang berlangsung sejak lima tahun lalu.
Memiliki karakter tersendiri, Tini tidak pernah mengecewakan setiap kali memperagakan rekaan tidak kira siapa pun pereka busana yang dipersembahkannya.
Bagi pereka duo, Rizman dan Ruzaini, ini adalah kali keempat penyertaan mereka dalam acara berkenaan, sekali gus memberikan idea untuk mereka menampilkan sesuatu yang berbeza.
Buat julung kalinya sepanjang 12 tahun pembabitan dalam industri fesyen tanah air, gandingan serasi ini memutuskan untuk tampil secara berasingan dengan menghasilkan koleksi masing-masing.
Bagaimanapun, kedua sahabat ini menegaskan kelainan ini bukan bermakna mereka berdua berselisih faham atau bergaduh, sebaliknya ia sekadar gimik kepada koleksi terbaru berkenaan.
Bukan berselisih faham
Rizman berkata, idea menampilkan Team Riz (Rizman) dan Team Ruz (Ruzaini) tidak bermakna kedua-duanya akan terus bergerak secara sendirian, sebaliknya mahukan orang ramai menilai sendiri idea yang dipersembahkan mereka.
“Hanya dengan cara ini orang ramai dapat menilai dan melihat sendiri di mana perbezaan idea antara Rizman dengan Ruzaini.
“Selepas 12 tahun dalam industri, terlintas idea supaya orang boleh nampak apa DNA Rizman dan bagaimana pula dengan DNA Ruzaini.
Sebab itulah tahun ini kami tampilkan dengan idea dua koleksi yang berbeza ini,” katanya kepada Aura.
Rizman menegaskan, tiada niat atau dalam perancangan mereka untuk bergerak secara solo, cuma kali ini mereka mahu penggemar fesyen lebih mengenali dan memahami gaya persembahan dan rekaan antara Rizman dengan Ruzaini.
“Walaupun ketika persembahan KLFW RTW 2017 lalu kami tampil dengan koleksi berlainan, pengakhirannya kami bersama kembali dan ini menunjukkan apa saja berlaku kami akan tetap bersama sampai bila-bila,” katanya.