Nova 2 Plus sasar ‘generasi selfie’
Selepas dilancarkan pertengahan tahun ini di beberapa negara, Huawei melancarkan Nova 2 Plus untuk pasaran Malaysia, minggu lalu.
Disasarkan kepada generasi muda, Huawei yakin dengan teknologi dwi kamera belakang 12 mega pixel (MP) dan 8MP serta kamera depan 20MP, Nova 2 Plus memberi kesan khas kepada peminat fotografi, terutama pencinta selfie.
Pengarah Produk CBG Rantau Pasifik Selatan, Cai Chuan Zhong, berkata selfie yang baik bukan sahaja bergantung kepada megapixel tetapi teknologi yang digunakan untuk menyokongnya.
“Model terbaru ini akan memenuhi keperluan generasi muda yang meminati fotografi dan muzik.
“Peranti ini menggunakan cip AK4376A Hifi, teknologi yang dibangunkan Huawei, yang turut digunakan dalam peranti kelas atasan kami, siri P dan Mate,” katanya pada sesi taklimat media, baru-baru ini.
Katanya, cip berkenaan mampu meminimumkan gangguan dan bising bagi memastikan muzik lebih segar.
Dengan skrin 5.5 inci, Nova 2 Plus mempamerkan reka bentuk yang sangat minimalis dengan bahagian luaran disaluti logam, gabungan yang cukup sempurna untuk penggemar telefon pintar kelas pertengahan.
Skrin lebih besar dan peranti ringan
Walaupun Huawei melancarkan Nova 2 dan Nova 2 Plus di China pada awal tahun lalu, konglomerat itu hanya membawa masuk Nova 2 Plus ke dalam pasaran tempatan.
Presiden Produk CBG Huawei Malaysia, Whisky Wang, berkata rakyat negara ini lebih gemar skrin yang lebih besar dan peranti yang lebih ringan.
“Rakyat Malaysia lebih suka (telefon pintar) skrin besar, sebab itu kami hanya perkenalkan Nova 2 Plus di sini,” katanya.
Berbanding skrin 5 inci pada Nova 2, model Nova 2 Plus mempunyai paparan 5.5 inci dengan resolusi 1,080. Ia disokong cipset Kirin 659, dan mempunyai RAM 4GB dengan 128GB ROM.
Ia dikuasakan oleh bateri 3,340mah dengan keupayaan pengecasan pantas.
Wang berkata, bateri mampu bertahan sehingga dua hari dengan penggunaan biasa dan hampir sehari dengan penggunaan kerap.
Huawei Nova 2 Plus kini boleh didapati di semua outlet Huawei dengan tiga warna emas, biru dan hitam pada harga runcit RM1,999.