Pendapatan 6 bulan pertama MRCB melonjak 55 peratus
Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh pada enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2017, dengan pendapatan meningkat 55 peratus kepada RM1.28 bilion.
Pemaju pembangunan berorientasikan transit (TOD) terbesar itu mencapai prestasi baik, terutama menerusi bahagian kejuruteraan dan pembinaan.
MRCB dalam satu kenyataan berkata, kumpulan mencatatkan pertumbuhan 32 peratus kepada RM63.4 juta dalam keuntungan se suk ke pelupusan aset bukan teras pada 2016.
Mengulas prestasi kumpulan, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, berkata pertumbuhan hasil yang kukuh dipacu oleh kenaikan 110 peratus dalam pendapatan kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar kumpulan.
“Segmen pembangunan dan pelaburan hartanah kumpulan mencatat kenaikan 29 peratus dalam pendapatan, disumbangkan oleh Sentral Residences dan Eastern Burwood Development di Melbourne,“katanya.
Beliau berkata, pendapatan tahun ini dijangka akan terus disumbang oleh segmen kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar.
Keuntungan projek hartanah
“Bahagian pembangunan hartanah turut mencatatkan pendapatan dan keuntungan daripada beberapa projek hartanah yang sedang berjalan, termasuk pembangunan bercampur 9 Seputeh; menara pejabat di PJ Sentral Garden City dan Menara MRCB di Putrajaya.
“Yang turut menyumbang pelaburan hartanah yang sedang berjalan di KL Sentral CBD dan Shah Alam sebanyak RM5.9 juta,“katanya.
Pembangunan hartanah MRCB pada masa ini yang kebanyakannya berorientasikan TOD mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM55 bilion.