Sharapova gah singkir Halep
Raih kemenangan sulung dalam penampilan sulung di Grand Slam
Maria Sharapova meraih kemenangan dalam penampilan pertamanya di Grand Slam sejak tempoh penggantungannya berakhir dengan menewaskan pilihan kedua Simona Halep 64, 4-6, 6-3 di Terbuka Amerika Syarikat (AS), semalam.
Sharapova menegaskan, dia tidak pernah berhasrat untuk bersara meskipun pernah menjalani penggantungan selama 15 bulan selepas gagal dalam satu ujian dadah di Terbuka Australia 2016.
Penggantungan juara major lima kali dan bekas nombor satu dunia itu berakhir April lalu dan terlepas kejohanan Terbuka Perancis dan Wimbledon, tahun ini.
“Kamu cuba dan memikirkannya, satu lagi peluang tetapi masih banyak lagi,” kata Sharapova yang melutut sambil menitiskan air mata sebaik saja meraih kemenangan yang ketujuh dalam tujuh pertembungan dengan Halep.
“Kamu sama sekali tidak akan tahu bagaimana perasaannya sehinggalah mata penentu tetapi ia nyata berbaloi,” katanya.
Tidak menyerah kalah
Sharapova, 30, yang memerlukan slot wild card untuk menyertai kejohanan yang pernah dimenanginya pada 2006 selepas kedudukan ranking dunianya turun ke tangga 146, memberi peringatan kepada pengkritik - dia tidak pernah mempunyai istilah menyerah kalah dalam kamus kariernya.
“Di sebalik pakaian hitam dan kristal Swarovski ini, terdapat seorang wanita yang mempunyai banyak semangat dan dia tidak akan ke manamana.”
Mengulas mengenai lawannya Halep, Sharapova berkata: “Simona dan saya saling menghormati. Ia sentiasa menjadi pertarungan sukar. Saya tahu yang saya perlu berusaha gigih untuk meraih kemenangan.”