Berita Harian

‘Pulau Pinang tak serius banteras rasuah’

Keengganan kerajaan DAP tandatanga­n Ikrar Bebas Rasuah disyorkan SPRM seperti takut dengan bayangbaya­ng sendiri

- Oleh Ifwan Tun Tuah dan Amir Mamat

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyindir kerajaan negeri DAP Pulau Pinang kerana enggan menandatan­gani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dianjurkan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, tidak seperti Melaka, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dilihat seperti takut dengan bayang-bayang sendiri apabila SPRM menganjurk­an IBR dalam usaha membantera­s rasuah dalam kalangan pemimpin dan masyarakat.

“Saya menyanjung SPRM kerana meminta semua kerajaan negeri melafazkan IBR, tetapi saya hairan kerajaan Pulau Pinang memandang sepi inisiatif ini.

“Ini membuktika­n kerajaan negeri itu tidak serius untuk membantera­s rasuah di negeri itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Polis Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan Pulau Pinang menyifatka­n prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) yang dilaksanak­an di negeri itu sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgu­naan kuasa berbanding menandatan­gani IBR.

Pendirian itu susulan kenyataan Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad bahawa tiga kerajaan negeri di bawah pimpinan pembangkan­g iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan masih belum menandatan­gani IBR.

“Nampak sangat mereka cuba meminggirk­an diri mereka daripada berikrar bebas rasuah, seolaholah mereka berada di luar sistem.

Cakap tak serupa bikin

“Kerajaan Pulau Pinang ‘cakap tak serupa bikin’. Ibarat ayam yang berkokok keliling kampung, tetapi ekornya penuh dengan tahi. Mereka mendabik dada sebagai jaguh dalam urusan integriti, tapi hakikatnya lebih kepada sifat suka menuding jari kepada pihak lain atas kelemahan mereka,” katanya.

Justeru, Idris mengesyork­an Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya muhasabah diri kerana tujuan SPRM menganjurk­an IBR itu adalah baik serta mahu menunjukka­n bahawa kesungguha­n kepimpinan negeri membantera­s rasuah.

Di Seremban, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keengganan kerajaan negeri Pulau Pinang menandatan­gani IBR menimbulka­n persoalan terhadap kesungguha­n mereka memerangi gejala rasuah.

“Saya tidak dapat melihat rasional di sebalik keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Tidak ada sebab mereka tidak mahu menandatan­ganinya kerana memerangi rasuah bukan berdasarka­n ideologi politik atau parti.

“Jangan jadikan usaha membantera­s rasuah berlandask­an politik kerana ini sebenarnya adalah penyakit masyarakat yang perlu kita atasi bersama-sama,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini, semalam.

Saya menyanjung SPRM kerana meminta semua kerajaan negeri melafazkan IBR, tetapi saya hairan kerajaan Pulau Pinang memandang sepi inisiatif ini. Ini membuktika­n kerajaan negeri itu tidak serius untuk membantera­s rasuah di negeri itu” Idris Haron, Ketua Menteri Melaka

Tidak ada sebab mereka tidak mahu menandatan­ganinya kerana memerangi rasuah bukan berdasarka­n ideologi politik atau parti. Jangan jadikan usaha membantera­s rasuah berlandask­an politik kerana ini penyakit masyarakat yang perlu kita atasi bersama-sama” Mohamad Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia