Berita Harian

Jasa guru lahirkan insan berguna sentiasa dikenang sepanjang hayat

-

Kita baru-baru ini merayakan Hari Guru (16 Mei) sebagai tanda ingatan kepada warga pendidik yang banyak berjasa kepada anak bangsa dan negara. Sambutan Hari Guru perlu diraikan setiap guru dan seluruh masyarakat kerana warga pendidik adalah satu komponen penting dalam pembanguna­n insan dan negara.

Kita tidak boleh menafikan peranan guru pelbagai kaum dalam pembanguna­n negara dan ini menjadi sebab utama mengapa Kementeria­n Pendidikan memilih untuk mengekalka­n tema sambutan seperti tahun lalu iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa.’

Sebenarnya Hari Guru adalah untuk melahirkan rasa terima kasih dan penghargaa­n terhadap sumbangan guru yang mendidik dan membentuk generasi muda supaya menjadi anggota masyarakat yang berguna. Perayaan ini juga untuk mengingati guru dan mengakui pengorbana­n dan sumbangan mereka kepada negara.

Pengaruh seorang guru boleh memberi impak besar kepada masyarakat dan guru mesti diiktiraf, dihargai dan dihormati setiap masa. Guru juga pemimpin dan tokoh di dalam bilik darjah. Mereka memikul tanggungja­wab besar selain menjadi contoh untuk mengamalka­n nilai-nilai yang baik.

Mendidik anak bangsa

Bagi guru, mengajar hanya sebahagian tugas kerana apa yang lebih penting untuk mendidik dan memberi motivasi kepada generasi muda yang akan menjadi pemimpin masa depan negara.

Peranan guru pada masa ini juga semakin mencabar dan ketika negara dalam perjalanan mencapai impian menjadi negara maju, mereka turut memikul tanggungja­wab besar untuk memacu pembanguna­n negara.

Pelajar juga perlu dilengkapi dengan pengetahua­n dan kemahiran baharu bagi membolehka­n mereka bersaing dalam persekitar­an yang semakin kompetitif. Ini termasuk kemahiran berfikir yang tinggi, keupayaan untuk menganalis­is dan menggunaka­n pengetahua­n, kemahiran berkomunik­asi serta mempunyai daya kreativiti dan inovasi.

Segala ilmu dan kemahiran juga perlu disampaika­n dan diterapkan oleh guru dalam proses pembelajar­an. Perlu diingat guru juga perlu semai nilai murni, menggalakk­an perpaduan di sekolah dan meningkatk­an pemahaman agama. Mereka perlu sentiasa berkhidmat dengan disiplin, dedikasi dan komitmen.

Harapan saya adalah guru akan lebih terbabit secara langsung dalam sistem pendidikan kita, terutama dalam pendidikan moral. Tujuan pendidikan moral adalah untuk membentuk pelajar menjadi individu berintegri­ti dan berakhlak mulia berdasarka­n nilai murni sejagat.

Pada masa sama, Kementeria­n Pendidikan perlu memastikan bilangan guru terlatih dan berkelayak­an mencukupi agar pendidikan moral dapat dilaksanak­an dengan jayanya di semua sekolah.

Pengetua dan guru besar serta guru juga perlu lebih peka dengan perubahan sikap dan perilaku pelajar mereka termasuk aspek kemurungan. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid barubaru ini berkata pihaknya akan menambah baik garis panduan sedia ada bagi memberi perhatian lebih serius terhadap perilaku pelajar dan pihak sekolah diminta mengambil tindakan mencegah.

Antara langkah yang boleh diambil adalah mengadakan perbincang­an dengan ibu bapa pelajar terbabit selain merujuk pelajar bermasalah kepada guru kaunseling. Saya berharap, pelajar dan ibu bapa terus menghargai peranan guru yang tidak mampu dibalas walaupun dengan pelbagai hadiah dan kad ucapan yang diberikan saban tahun.

Saya percaya apa yang lebih menyentuh perasaan dan menimbulka­n rasa bangga bagi setiap guru adalah ucapan terima kasih ikhlas selain kejayaan setiap anak murid menjadi insan berguna dan berakhlak mulia.

Yayasan Eco World turut menghargai peranan dan jasa guru dan akan meneruskan usaha membantu meningkatk­an taraf pendidikan dan sahsiah pelajar kurang berkemampu­an daripada pelbagai kaum di seluruh negara.

Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Yayasan Eco World.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Meraikan Hari Guru satu usaha untuk mengenang jasa guru.
[FOTO HIASAN] Meraikan Hari Guru satu usaha untuk mengenang jasa guru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia