UNISZA tubuh pusat latihan, ternakan kambing tenusu
pembelajaran Program 2u2i (Dua Tahun Universiti Dua Tahun Industri).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata penubuhan pusat latihan dan ternakan kambing tenusu kendalian UNISZA itu adalah yang pertama dilakukan oleh universiti tempatan.
Beliau berkata, projek itu bukan sahaja melatih pelajar, malah diperluas kepada penduduk tempatan yang berminat dalam industri ternakan kambing tenusu.
“Dairyfarm akan menjadi antara pengeluar susu kambing utama di negara ini untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan apabila beroperasi sepenuhnya nanti.
“Ketika ini, 50 pelajar menyertainya melalui Program 2u2i yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi. Melalui program itu, pelajar dikehendaki mengikuti pengajian selama dua tahun di universiti, manakala dua tahun lagi dalam industri.
Bina kandang moden
“Projek ini juga akan membantu meningkatkan kerjasama antara komuniti usahawan dengan universiti tempatan,” katanya ketika melancarkan Dairyfarm UNISZA di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut dekat sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad; dan Naib Canselor UNISZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif.
Idris berkata, pusat itu akan menjadi institusi latihan, penyelidikan dan pemindahan teknologi dalam penjenamaan hasil susu kambing di negara ini.
Beliau berkata, satu daripada perbezaan konsep penternakan kambing tenusu di pusat latihan itu ialah UNISZA membina kandang moden yang akan menjadi pusat rujukan untuk sistem perladangan pintar (SSF).