AIBT bantu tingkatkan dagangan Malaysia, India
dan Persidangan Teknologi Perniagaan ASEAN-INDIA (AIBT) selama dua hari mulai 24 Mei dijangka dapat membantu meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan India, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri Jayasiri Jayasena berkata, dengan jumlah industri yang banyak menyertai acara yang julung kali diadakan itu, kementerian kekal positif mengenai prestasi dagangan antara keduadua negara.
Ekspo dan Persidangan AIBT akan memaparkan pelbagai industri seperti teknologi maklumat dan komunikasi, automotif dan aeronautik, elektrik dan elektronik, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.
“Ia juga tepat pada masanya kerana Malaysia mula terbabit dalam ekonomi digital tahun ini dengan pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital.
“Apa yang heboh diperkatakan sekarang ialah mengenai ekonomi digital dan e-dagang. Oleh itu, kami melihat pelbagai peluang untuk syarikat teknologi ASEAN dan India mempamer dan mempromosi produk dan perkhidmatan mereka,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Platform terbaik untuk PKS
Jayasiri berkata, acara itu juga terbuka kepada negara bukan ASEAN dan berharap untuk melihat lebih banyak syarikat menyertainya dan mendapat manfaat daripada beberapa dialog yang akan dianjurkan.
“Ia juga platform yang baik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping pemula niaga untuk mendapat produk dan perkhidmatan, di samping bekerjasama dengan syarikat lain untuk pembangunan masa depan,” tambahnya.
Ekspo dan Persidangan AIBT diadakan bagi menandakan ulang tahun ke-25 hubungan ASEAN-INDIA dan dengan harapan untuk mempromosi dan mempercepatkan integrasi ekonomi antara ASEAN dan India, di samping menjadikan Malaysia sebagai hab utama.
Kira-kira 120 pempamer dijangka menyertai acara itu dan penganjurnya, Majlis Perniagaan ASEAN-INDIA berharap untuk menarik sekurang-kurangnya 5,000 pelawat perdagangan dan awam.
Jumlah dagangan antara ASEAN dan India merosot kepada AS$58.74 bilion pada 2015 berbanding AS$71.82 pada 2012 (AS$1=RM4.32).
Bagaimanapun, data terbaru MITI menunjukkan terdapat pertumbuhan dua angka dalam eksport antara kedua-dua negara. Ia berkembang 15.2 peratus kepada RM3.31 bilion berbanding tempoh yang sama setahun lalu.
Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, TS Tirumurti, berkata akan berlaku lonjakan besar bukan sahaja dalam perdagangan tetapi juga pelaburan antara Malaysia dan India.