GANTI GHADDAR
Pemain Terbaik Liga Lubnan tiba di Kelantan
Kota Bharu: Penasihat Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan pemain terbaik Liga Lubnan, Abou Bakr El Mal akan berada di sini hari ini, bagi proses rundingan perpindahan ke The Red Warriors (TRW).
Abou Bakr dijadualkan tiba di Kota Bharu tengah hari ini dan akan bersama-sama Annuar untuk makan tengah hari di sebuah hotel di sini.
Perkara itu dimaklumkan Annuar menerusi entri terbaru Facebook miliknya, semalam.
Dalam entri sama, Annuar reda dengan perpindahan bekas penyerang sensasi Kelantan, Mohammed Ghaddar ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Tak mengapalah dia (Ghaddar) nak pergi (JDT), usaha kita tetap teruskan. Kita kirim tiket penerbangan supaya ‘Bako’ (Abou Bakr) menemui saya esok (hari ini),” katanya menerusi entri itu.
Gambar peribadi
Mengulas lanjut, Annuar memberitahu Abou Bakr dinobatkan sebagai pemain terbaik Liga Lubnan musim ini.
“Beliau berusia 24 tahun dan kini bersama skuad senior negaranya dan baru terpilih sebagai pemain terbaik Liga 2017,” katanya.
Semalam, BH Sukan melaporkan skuad Kelantan bakal membawa masuk penjaring terbanyak Liga Lubnan musim 2017, Abou Bakr pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-m) yang mula dibuka Isnin lalu.
Perkara itu diketahui menerusi akaun Twitter Lebanonfg iaitu sebuah laman panduan bola sepak negara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Abou Bakr dalam laman Instagram memuat naik gambar peribadinya pada hari yang sama menyatakan akan berpindah ke pasukan baharu.
“Saya akan ke pasukan baharu, Kelantan,” katanya pada entri bergambar itu.