Jae-in beri amaran pertempuran bakal meledak
Presiden Korea Selatan tidak akan tolak ansur provokasi Pyongyang
Pertempuran pihak tentera mungkin berlaku di sempadan Korea Utara dan Korea Selatan berikutan ketegangan yang semakin memuncak, susulan kegilaan Pyongyang terhadap penggunaan senjata.
Hakikat itu disuarakan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in yang memberi amaran, program nuklear dan roket Korea Utara semakin pesat membangun dan ia bukan satu perkembangan yang baik.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan provokasi dilakukan Korea Utara dan ancaman nuklear yang mereka berikan.
“Kita sekarang berdepan dengan realiti kemungkinan berlakunya pertempuran di sempadan pantai barat Korea atau di sepanjang garisan sempadan bahagian darat yang memisahkan keduadua negara,” katanya selepas lawatan ke Kementerian Kesihatan.
Konflik antara Washington dan Pyongyang semakin memuncak beberapa minggu kebelakangan ini malah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat dilaporkan sedang menimbangkan kemungkinan mengambil tindakan ketenteraan manakala Korea Utara pula mengancam untuk melancarkan serangan balas.
Mahu rundingan
Jae-in dilihat lebih menggemari pendekatan berasaskan rundingan dengan negara jiran itu tetapi selepas pelancaran peluru berpandu jarak jauh Ahad lalu, beliau berkata, rundingan seumpama itu hanya boleh dilaksanakan jika Pyongyang bersedia untuk berubah.
Korea Utara mendakwa roket dilancarkan itu mampu membawa bahan letupan nuklear walaupun terdapat keraguan terhadap kemampuan negara itu membina bahan letupan pada saiz kecil untuk dimuatkan pada peluru berpandu berkenaan.
Serangan pertama Korea Utara pada 2010 di selatan sempadan Pulau Yeonpyeong menyebabkan empat orang maut, lantas menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan untuk konflik kedua negara berulang kembali.
Pada tahun yang sama, sebuah kapal selam milik kerajaan Korea Selatan karam di Laut Kuning, mengorbankan 46 nyawa. Ia didakwa angkara serangan torpedo milik Korea Utara namun mereka dengan berang menafikan terbabit dalam kejadian itu.