1,070 terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016
Penghargaan terhadap prestasi, komitmen tinggi kakitangan laksana tugas
Seramai 1,070 orang warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) daripada 79 Jabatan, Agensi dan Bahagian dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 pada satu majlis yang diadakan di sini.
Penganugerahan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi dan komitmen kerja yang tinggi sewaktu menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan kepada mereka.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata APC adalah satu pengiktirafan yang dapat mewujudkan persaingan sihat dalam membuktikan keupayaan diri masing-masing dan secara tidak langsung memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik.
“JPM antara kementerian yang turut memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pegawai kontrak yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang serta komitmen tinggi di samping memberikan sumbangan signifikan kepada jabatan.
“Adalah menjadi harapan kerajaan agar warga yang dipilih menghargai pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan untuk terus mendukung dengan gigih usaha kerajaan membawa perubahan positif dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam ucapan perasmian APC JPM 2016 di Puspanitapuri, di sini.
Insentif Kerajaan Untuk Perkhidmatan Awam
Dalam konteks perkhidmatan awam, setiap tahun, kerajaan sentiasa menambah baik skim perkhidmatan awam daripada segi emolumen dan insentif perkhidmatan seperti cuti belajar untuk Kumpulan Pelaksana, peluang kenaikan pangkat secara ‘fast-track’ dan ‘time-based’, kesetaraan gaji, pelantikan tetap pekerja kontrak dan perumahan mampu milik untuk penjawat awam.
Ali berkata, tiada negara lain dalam dunia yang memberikan begitu banyak insentif atau kemudahan kepada perkhidmatan awam mereka. Sehubungan itu, sebagai penjawat awam, kita semua tertakluk kepada prinsip setia kepada kerajaan yang memerintah. Sekiranya terdapat perkara yang dirasakan perlu ditambah baik, kita boleh mengutarakan pandangan kita kepada pihak berkenaan.
Apa Kata Penerima APC
“Penganugerahan ini membuktikan warga kerja OKU juga seperti saya turut diberi pengiktirafan dan mendapat peluang yang sama seperti golongan normal.” Rahimah Andungai, Pembantu Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengurusan Tertinggi JPM dan juga pihak kerajaan di atas penerimaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) ini. Seterusnya anugerah ini adalah pemangkin semangat saya untuk meneruskan agenda merakyatkan perkhidmatan awam serta tanggungjawab dan amanah yang sangat besar dalam memastikan pembangunan rakyat dapat direalisasikan.” Mohd Faizul Ahamad, Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri.
“Anugerah Khas ini merupakan satu kejutan dan mungkin adalah hadiah buat saya yang akan bersara pada 4 Jun ini.” Noraini Mohamad, Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dipilih untuk menerima Anugerah Khas.
Dalam menyampaikan perkhidmatan, janganlah kita mengharapkan balasan dan kita perlu lebih berintegriti di dalam atau luar pejabat” Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara