Berita Harian

United perlu menang 2 aksi terakhir

Mata anggap penting bagi pasukan menjelang final Liga Europa

-

Juan Mata percaya penting buat Manchester United untuk memenangi dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi memastikan mereka berada di prestasi terbaik menjelang final Liga Europa menentang Ajax.

Kekalahan 2-1 United di tangan Tottenham Hotspur, Ahad lalu menutup peluang mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas dan kini hanya final Liga Europa di Stockholm pada 24 Mei menawarkan peluang terakhir layak ke Liga Juara-juara musim depan.

United ke Southampto­n awal pagi esok waktu Malaysia sebelum melayan kunjungan Crystal Palace pada perlawanan terakhir musim ini, dan walaupun perlawanan itu tidak lagi bermakna, Mata berkata dia dan rakan sepasukann­ya tetap tidak akan mengambil mudah.

“Sekarang masanya untuk mengharung­i dua perlawanan yang baik untuk menutup musim EPL dan mara ke final Liga Europa pada prestasi terbaik,” kata pemain tengah Sepanyol itu.

Kalendar cukup padat

“Memang benar kalendar cukup padat sepanjang dua bulan lalu, tetapi kami perlu terus berusaha untuk memenangi baki tiga perlawanan.”

Pengendali United, Jose Mourinho, memberi isyarat yang Liga Europa adalah satu-satunya fokus kelab, apabila merehatkan tonggak utamanya ketika bertemu Tottenham dan dalam kekalahan 2-0 di Arsenal selepas itu.

Dia melakukan lapan pertukaran kepada skuad yang mengatasi Celta Vido dalam separuh akhir Liga Europa ketika kekalahan di Spurs, yang meletakkan United kini tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia