Syor pelantikan sementara dalam kalangan ahli PGSM
Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mencadangkan supaya pelantikan jawatan pegawai sulh dibuat secara sementara dalam kalangan ahli persatuan itu bagi tempoh jangka pendek.
Presidennya, Musa Awang, berkata langkah sedemikian mampu meningkatkan keupayaan penugasan kepada pegawai berkenaan, malah mengurangkan perbelanjaan seiring langkah penjimatan kos pengurusan oleh kerajaan.
“Pegawai yang dilantik secara adhoc ini, perlu menerima elaun berpatutan yang dibayar kerajaan, dengan syarat peguam syarie berkenaan menandatangani surat konflik kepentingan ( conflict of interest) serta sulit dan rahsia ( private and confidential),” kepada BH.
Beliau mengulas saranan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, yang menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menambah bilangan perjawatan pegawai sulh bagi mengurangkan kes tertunggak di Mahkamah Syariah.
Perlu pertingkat kemahiran
Musa berkata, seiring pertambahan pegawai menerusi cara itu, pegawai sulh sedia ada juga perlu dipertingkatkan kemahiran dan pengetahuan mengenai undangundang berkaitan Kanun Tanah Negara, Akta Syarikat dan Akta Kontrak.
Katanya, kemantapan kemahiran lebih menjadi keutamaan serta diperlukan pada masa ini bagi memastikan tidak berlaku perjanjian sulh yang tidak boleh dikuatkuasakan menurut undang-undang.
“Contohnya, aduan diterima daripada ahli persatuan mengenai ada perjanjian sulh berkaitan pembahagian tanah lesen menduduki sementara sebagai harta sepencarian. Ia akan mudah untuk diselesaikan.
“Contoh lain perjanjian sulh tentang hak lawatan atau bermalam anak yang tidak menyatakan tarikh dan masa untuk ambil dan hantar, yang kebiasaannya akan mendatangkan masalah apabila memohon perintah pelaksanaan atau perintah pengkomitan (di mahkamah),” katanya.
Tambah peranan ahli PGSM
Musa berkata, peranan ahli PGSM dalam kes yang dikendalikan oleh pegawai sulh juga sepatutnya diperbanyakkan seperti membenarkan peguam syarie hadir ketika sesi majlis sulh.
“Perjanjian sulh yang dibuat oleh pegawai sulh boleh dirujuk kepada peguam syarie terlebih dulu sebelum dibawa ke hadapan hakim untuk diperintahkan,” katanya.