Berita Harian

Khairul Hafiz, Aifa dapat tonik tambahan

Marina Chin terima Tokoh Kepimpinan Sukan

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan pemain skuasy remaja, Aifa Azman dinobatkan sebagai pemenang anugerah Putera dan Puteri Kementeria­n Pendidikan Malaysia (Kpm)-majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)Milo 2016, semalam.

Selain mereka, pemenang pingat emas lompat jauh sukan Paralimpik Rio, Brazil, Abdul Latif Romli, atlet terjun Nur Dhabitah Sabri dan Welson Sim Wee Sheng (renang) muncul pemenang anugerah Mutiara Inspirasi Sukan MSSM-MILO.

Bagi Aifa, beliau menganggap anugerah yang diraih itu dapat memberi suntikan semangat tambahan untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan khususnya di peringkat antarabang­sa.

Namun, beliau turut tidak menganggap kejayaanny­a merangkul anugerah itu sebagai jaminan untuk terpilih mewakili negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Harap dapat terpilih

“Saya bersyukur sebab menang anugerah ini. Saya akan menyertai kejohanan di India hujung bulan ini dan ia pasti menambahka­n semangat saya.

“Berkenaan Sukan SEA, saya belum dimaklumka­n lagi sama ada saya dapat masuk atau tidak. Tapi saya sudah berlatih untuk skuad Sukan SEA sejak awal tahun ini.

“Peluang untuk terpilih mewakili negara pada temasya itu memang sukar sebab ramai lagi pemain senior yang lebih hebat dan berpengala­man. Apapun, saya harap dapat terpilih ke Sukan SEA," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaia­n anugerah itu.

Selain itu, ketua kontinjen negara untuk Sukan SEA 2017 Datuk Marina Chin menerima anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan manakala Mohd Poad Md Kassim menggondol anugerah Jurulatih Sukan Cemerlang.

Dua atlet wushu, Chuah Shang Yang dan Sydney Chin Sy Xuan dinobatkan sebagai putera dan puteri pemenang Anugerah Khas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia