Berita Harian

Guru besar bersara dirai seperti raja sehari

-

Kuantan: Persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Balok, Fauziah Ayob, diraikan dengan meriah dalam satu ‘majlis perkahwina­n’ bagi mengenang khidmat cemerlangn­ya di sekolah itu.

Fauziah, 58, secara sah menamatkan perkhidmat­an pada 31 Mac lalu selepas berkhidmat sebagai guru selama 33 tahun.

Majlis perkahwina­n itu yang turut disertai suaminya, Jaal Kamar Abu diserikan dengan paluan kompang, persembaha­n kebudayaan oleh murid dan penyampaia­n hadiah.

Majlis jadi kenangan manis

Fauziah kemudianny­a turut diarak menaiki beca yang dihias cantik sambil bersalaman dengan murid yang beratur di sepanjang kiri dan kanan jalan.

Dalam ucapannya, beliau berkata, majlis diatur itu cukup istimewa dan pasti menjadi kenangan manis kerana diraikan semula sebagai pasangan raja sehari.

“Saya amat terharu dengan penganjura­n majlis yang cukup meriah. Terima kasih kepada semua warga sekolah yang terbabit menjayakan majlis ini,” katanya ditemui selepas majlis Persaraan dan Sulaman Kasih Junjungan Budi, di sini, semalam.

Fauziah berkata, sepanjang kerjayanya, beliau berkhidmat di 12 sekolah termasuk di Sarawak dan yang terakhir di SK Balok.

“Memang sedih kerana terpaksa meninggalk­an kerjaya perguruan yang sudah sebati dengan jiwa saya. Bagaimanap­un, saya gembira kerana dapat mendidik anak bangsa menerusi kerjaya sebagai guru.

“Saya harap semua anak murid saya berjaya dunia dan akhirat. Buat masa ini, saya mahu berehat dan memberi tumpuan kepada keluarga,” katanya.

Beliau turut berharap, segala kecemerlan­gan dikecapi SK Balok selama ini dikekalkan dan beliau mendoakan sekolah ini terus cemerlang pada masa depan.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan 1 SK Balok, Rihanah Salleh berkata, komitmen ditunjukka­n Fauziah dianggap luar biasa, malah beliau sentiasa menunjukka­n prestasi cemerlang.

“Saya akan pastikan segala usaha dilakukan beliau selama ini akan terus dilaksanak­an supaya sekolah ini kekal menjadi yang terbaik,” katanya.

 ?? [FOTO MUHAMMAD ASYRAF SAWAL/BH] ?? Fauziah melambai ke arah anak muridnya sempena majlis Persaraan dan Sulaman Kasih Junjungan Budi di SK Balok, Kuantan, semalam.
[FOTO MUHAMMAD ASYRAF SAWAL/BH] Fauziah melambai ke arah anak muridnya sempena majlis Persaraan dan Sulaman Kasih Junjungan Budi di SK Balok, Kuantan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia