Berita Harian

Saya buat yang terbaik: Subahan

- Oleh Haika Khazi dan Mohamad Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Datuk Seri Subahan Kamal (SK) menganggap dirinya bukan calon popular untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) biarpun baharu menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), kelmarin.

Subahan berkata, beliau kurang popular berbanding dengan dua calon lagi, iaitu Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Mohd Yusoff Mahadi, yang turut bersaing untuk merebut jawatan nombor dua dalam badan induk itu pada Kongres Pemilihan FAM Ke-53, 25 Mac ini.

“Apa yang saya nampak, daripada tiga calon Timbalan Presiden FAM, sayalah paling kurang popular dan hendak menang. Bagi saya kalah dalam tangan menang belum tentu.

“Namun, apabila saya mempunyai peluang kembali ke FAM dan membantu... Insya-allah saya akan buat yang terbaik.

Visi dan misi Subahan

“Saya akan berusaha untuk memastikan perwakilan memahami visi dan misi saya mahu menjadi Timbalan Presiden FAM,” katanya kepada BH Sukan, kelmarin.

Dalam Kongres Pemilihan FAM Ke-52 pada 2014, Subahan turut bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM, namun kalah kepada Afandi dan Datuk Mokhtar Ahmad.

Subahan berkata, antara sebab beliau menawarkan diri untuk merebut jawatan itu kerana mahu meningkatk­an imej dan ranking pasukan bola sepak negara.

“Saya akan terus bertanding kerana yakin Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memerlukan seorang pembantu berpengala­man seperti saya selepas beliau dipilih sebagai Presiden FAM.

“Jadi saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden untuk membantu Tunku Ismail mentadbir FAM dengan lebih baik.

“Namun, ia terpulang kepada perwakilan yang mengundi pada kongres itu nanti,” katanya.

Subahan berkata, Selangor menjadi negeri kedua selepas Melaka yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada TMJ untuk menerajui FAM.

 ??  ?? Subahan (kanan) mengaku dia kurang popular berbanding dengan dua lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden FAM.
Subahan (kanan) mengaku dia kurang popular berbanding dengan dua lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden FAM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia