Bukan formasi tapi kerja keras
Komitmen pemain punca kejayaan Selangor
Formasi baharu 3-4-3 yang diterapkan pengendali Selangor, P Maniam bukan senjata baharu yang menyebabkan The Red Giants menumbangkan Pulau Pinang 2-0 pada aksi pembukaan Liga Super di Majlis Perbandaran Selayang, malam kelmarin.
Sebaliknya, pengendali berusia 49 tahun itu menegaskan kemenangan yang dilakar ke atas skuad Harimau Kumbang itu atas komitmen, kerja keras dan keyakinan ditunjukkan pemain walaupun berdepan pelbagai masalah sebelum bermula kempen musim ini.
“Jika kita lihat, ia bukan semata-mata kerana formasi baharu yang saya gunakan ini. Kejayaan kami kerana kerja keras barisan pemain yang percaya dengan kemampuan mereka untuk menjayakannya.
“Barisan pemain saya beraksi dengan baik dan kesungguhan itu memberi impak.
“Saya juga gembira dengan persembahan pemain muda yang mempamerkan aksi pada tahap yang tinggi," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, kelmarin.
Penyudah kemas
Pada aksi kelmarin, penyerang muda, Adam Nor Azlin meletakkan The Red Giants di hadapan pada minit ke-34 menerusi rembatan deras menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Syed Adney Syed Hussein sebelum penyerang Liberia, Francis Forkey Doe melebarkan jurang 10 minit berselang dengan satu penyudah kemas untuk kedudukan 2-0.
Mengulas lanjut prestasi pemainnya ketika bertemu anak buah Ashley Westwood itu, bekas pengendali Airasia FC itu menjelaskan mereka terpaksa menggunakan pendekatan untuk bertahan selepas jentera serangan mereka terjejas.
“Kita beraksi dengan cukup baik pada separuh masa kedua kerana adanya Forkey Doe yang mengetuai jentera serangan, namun selepas dia dikeluarkan, kita tiada 'target man' di bahagian serangan,” katanya.